SEREMBAN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan penubuhan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai ‘wake-up call’ kepada parti lama di negara ini untuk turut berubah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, pemimpin politik juga tidak seharusnya memandang rendah penubuhan Muda yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, sebaliknya bersikap matang dan memberi ruang kepada orang muda bergerak aktif dalam politik.
“Saya lihat kenyataan sesetengah pemimpin kita, mendakwa parti Muda tidak ada pengaruh dan akan gagal, saya rasa ini bukan sikap yang matang, kita kena ambil serius penubuhan parti itu.
“Jangan memandang rendah penubuhan parti itu,” katanya pada sidang media selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) yang baharu, di sini, semalam, lapor Harian Metro
Pada 17 September lalu, Syed Saddiq membuat permohonan pendaftaran parti Muda di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Bekas Menteri Belia dan Sukan menjelaskan, parti itu bertulang belakangkan 13 penaja daripada pelbagai latar belakang dan membuka keahliannya kepada semua lapisan masyarakat serta pelbagai kaum.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, parti lama perlu berubah dan turut memberi ruang kepada orang muda bergerak aktif dalam parti masing-masing.
“Justeru, parti lama perlu berubah supaya tidak ketinggalan dan mengambil iktibar sekiranya mahu mendapat sokongan generasi muda.
“Dulu sebagai Ketua Pemuda Umno, saya usulkan supaya lebih ramai calon muda untuk beri keseimbangan, tetapi saya lihat tidak begitu ramai (calon muda),” katanya.
Beliau turut mengingatkan, untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, lebih ramai pengundi dalam kalangan golongan muda, terutama apabila mereka menjadi pemilih secara automatik.