Perak Hari Ini

Perak Cadang Terapkan Konsep Syiar Islam Di Bandaraya Ipoh

IPOH: Kerajaan Perak sedang menjalankan gerak kerja bagi menerapkan konsep syiar Islam di dalam Bandaraya Ipoh.

Antara konsep yang dicadangkan adalah memasukkan ciri-ciri Islamik pada papan tanda yang terdapat di sekitar bandaraya tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan perbincangan awal yang membabitkan beberapa pihak.

Antara yang terlibat termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Mufti Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Pejabat Tanah dan Galian Perak.

Katanya, pelbagai aspek akan dilihat termasuk bagi memastikan pelaksanaanya itu tidak akan menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain yang berada di bandar raya ini.

“Kajian yang diusulkan itu turut memastikan yang perkara ini tidak akan menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain.

“Sebaliknya ianya akan mewujudkan lagi suasana saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam kalangan penduduk.

“Jadi menerusi usaha ini kita mahu mengetengahkan lagi ciri-ciri Islamik di Bandaraya Ipoh,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Kinta di Restoran Terapung Anak Perak di Manjoi, dekat sini, hari ini.

Selain itu menurutnya, kertas kajian bagi pelaksanaan syiar Islam yang dijalankan pihak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu dijangka siap pada tahun ini.

“Kajian itu akan melalui beberapa proses dan sudah pasti kajian itu akan dibentangkan serta turut dibawa kepada MAIPK, sebelum ia dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” ujar beliau.

Katanya lagi hasil gerak kerja perkara yang sudah dimulai sejak dua bulan lalu itu dijangka dapat dilaksanakan seawal tahun hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");