Perak Hari Ini

Perak Perkenal Enam Kluster Pelancongan

IPOH: Kerajaan Perak sentiasa berusaha dalam merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Terkini Perak melalui agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Perak memperkenalkan enam kluster pelancongan yang melibatkan semua daerah.

Kluster pertama adalah Ipoh, Gopeng, Kampar dan Kuala Kangsar; kedua Gerik, Pengkalan Hulu yang meliputi Taman Negeri Royal Belum; serta kluster ketiga Taiping, Selama dan Kerian.

Sementara kluster keempat melibatkan Perak Tengah, Manjung termasuk Pangkor; kelima Teluk Intan dan Bagan Datuk; serta kluster keenam Tapah sehingga ke Tanjung Malim.

Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi usaha tersebut dilihat mampu menjayakan sasaran 5 juta kedatangan pelancong ke Perak pada akhir tahun ini.

“Dalam satu kluster atau pakej itu para pelancong boleh menghabiskan tempoh masa tiga hari dua malam di situ. Mereka tidak akan mempunyai masalah daripada segi aktiviti, pembekalan makanan dan penginapan,” katanya.

Tambahnya disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun ini Perak mungkin tidak dapat mencapai jumlah kedatangan pelancong seramai 10.1 juta seperti tahun lalu.

Justeru katanya dalam usaha mencapai sasaran 5 juta pelancong dalam keadaan penularan wabak tersebut yang belum berakhir, para pemain industri dan pelancong harus memainkan peranan masing-masing.

Ujarnya semua pihak harus bertanggungjawab bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak tersebut sentiasa diamalkan bagi memastikan Perak terus kekal sebagai zon hijau COVID-19.

Sementara itu Nolee berkata daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga kini, Perak telah menerima 90,000 tempahan bilik hotel oleh pelancong.

Ujarnya statistik tempahan yang melibatkan 67 hotel seluruh Perak itu ditempah sehingga penghujung tahun ini.

“Satu lagi inisiatif bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Perak ini adalah kerajaan negeri akan melancarkan Baucar Pelancongan TravelPeraklah Fasa Kedua.

“Pada kali ini ia bukan sahaja melibatkan industri penginapan dan aktiviti pelancongan, tetapi ianya juga akan turut membabitkan ejen pelancongan dan perkhidmatan Bas Hop On Hop Off (HOHO).

“Pelbagai tawaran pakej pelancongan yang menarik akan diperkenalkan dan ia bakal dilancarkan pada Oktober ini,” jelas beliau.

Terdahulu Nolee merasmikan Majlis Penutup Program Semarak Pelancongan Perak 2020 di Hotel Sunway Lost World Of Tambun, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah MOTAC Perak, Asrul Zakaria; Pengarah Tourism Perak Nurmalis Musa serta Pengurus Besar Sunway Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan 74 peserta yang terdiri daripada pelbagai pengusaha dan pemain sektor pelancongan di Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");