Berita Hari Ini

Polis siasat menyeluruh kematian prebet Aziz – Ayob Khan

Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian anggota tentera, Abdul Aziz Aznam yang dilaporkan meninggal dunia di Batu Pahat kelmarin.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kini disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Sebelum ini kes diklasifikan sebagai mati mengejut, namun kini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri mengambil alih siasatan merangkumi segala aspek,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Ayob Khan bagaimanapun meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung kematian Abdul Aziz dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Media kelmarin melaporkan anggota tentera itu menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang selepas sembilan hari mendapat rawatan di ICU HSNI akibat kecederaan parah pada kepala.

Abang mangsa, Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, berkata, Allahyarham pernah menyatakan hasrat berhenti daripada berkhidmat dalam pasukan tentera kerana tidak tahan dibuli.

Mangsa juga dikatakan pernah mengadu kepada keluarga bahawa dia pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi

Bagaimanapun, Mohamad Amirulnaim berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis sepenuhnya namun meletakkan harapan tinggi agar kematian adiknya terbela.

Sementara itu kakak Allahyarham, Azlinna Aznam, 25, berkata, tindakan pihak tertentu membuat pelbagai andaian termasuk mengaitkan kematian adiknya dengan tindakan bunuh diri sedikit sebanyak mengguris perasaan ahli keluarga terutama ibu mereka.

“Ada beberapa laporan polis yang kami buat kerana mahu keadilan ditegakkan dalam kes ini, jadi saya harap orang ramai dan pihak-pihak tertentu hentikan spekulasi mengenai kejadian itu.

“Emosi mak masih belum stabil dan kami sendiri tidak berapa pasti apa sebenar yang berlaku, jadi kita tunggu sajalah siasatan lanjut nanti,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak pada jam 2.30 pagi hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");