Panasnya Hari Ini

PRN Sabah: Semua Parti Berjuang Habis-Habisan Untuk Tawan Hati, Minda Pengundi

KOTA KINABALU- Dalam tempoh kurang 48 jam sebelum hari pengundian bermula bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, kebanyakan parti yang bertanding berjuang habis-habisan untuk menawan hati dan minda pengundi dalam memilih 73 wakil rakyat mereka.

Mereka melakukan segala yang termampu untuk mendekati sejumlah 1.12 juta pengundi dengan memanfaatkan jentera pilihan raya masing-masing seperti mengadakan ceramah, kempen rumah ke rumah, kempen bersemuka dan menggunakan platform media sosial, meskipun terpaksa berdepan pandemik COVID-19.

Dua nama besar parti gabungan di Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti mewakili kerajaan negeri terdahulu, Warisan Plus dilihat aktif berkempen dari awal pagi hingga larut malam di segenap pelusuk Negeri di Bawah Bayu itu.

Kira-kira 300 kilometer dari ibu negeri, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, menyantuni masyarakat melalui majlis ramah mesra pada sebelah pagi di Beluran dan petang di tapak pasar tamu dan perumahan rakyat sekitar Sandakan sebelum menyertai ceramah perdana presiden-presiden parti dalam GRS di Kota Kinabalu.

Majlis itu turut melibatkan kehadiran calon-calon GRS bersama penyokong dan jentera parti dalam suasana pematuhan kesihatan COVID-19 termasuk amalan memakai pelitup muka serta penggunaan pensanitasi tangan dan penjarakan fizikal.

Bekas  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan untuk turun padang ke kawasan Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Kinabatangan bagi program ramah mesra serta bual bicara bersama masyarakat setempat.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor pula meneruskan kempen bersama pengundi di kawasan ditandinginya iaitu DUN Sulaman selain mendekati jentera parti yang gigih bekerja siang malam dalam mendapatkan maklum balas mengenai kempen mereka.

Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memilih untuk berkampung di kawasan ditandinginya, DUN Lamag, di hujung-hujung tempoh berkempen sehingga hari pengundian dengan mendekati pengundi termasuk menggunakan bot ke kawasan pedalaman bagi program ramah mesra, mengedarkan risalah manifesto, ceramah, merasmikan tapak sukan, mengadakan solat hajat, doa selamat dan tahlil.

Sementara itu, jurucakap PBS berkata jadual padat menanti timbalan presiden Datuk Seri Radin Malleh untuk terus aktif mendekati pengundi di DUN Melalap yang mempunyai 13,990 pemilih berdaftar dalam usaha memenangi pertandingan enam penjuru di kerusi tersebut.

Bagi Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pasukannya memilih untuk mendekati pengundi di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna melalui majlis bersama belia, lawatan ke Pekan Merotai Besar dan program ramah mesra termasuk pada waktu malam.

Penyelidik Kajian Sosio-Elektoral, Persekitaran dan Masyarakat Sabah  (GeOPes) Universiti Malaysia Sabah Dr Syahruddin Awg Ahmad berkata adalah penting bagi GRS serta Warisan Plus menerapkan mesej kebersamaan dalam perjuangan dan pada masa sama, menitikberatkan aspek kebajikan, keselamatan serta kesihatan rakyat.

“Rakyat negeri Sabah sekarang dihantui kluster-kluster COVID-19 yang kian bertambah dan jumlah kes juga seperti tidak berkurang setiap hari.

“Mesej peringatan tentang pencegahan COVID-19 yang disulami dengan mesej meraih sokongan pengundi adalah lebih berkesan pada tahap sekarang,” katanya.

Beliau berkata ini kerana rakyat mahukan jaminan tentang keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka terjaga.

“Sekiranya ia (mesej berkenaan) keluar dari mulut calon dan pemimpin parti, maka calon dan parti berkenaan akan dilihat lebih relevan dan menjaga mereka pada masa ini dan pada masa depan,” katanya.-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");