Panasnya Hari Ini

PRN Sabah: Warisan Plus Guna Tiga Logo

KOTA KINABALU – Warisan Plus akan menggunakan tiga logo semasa bertanding pada pilihan raya negeri Sabah bulan ini, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Bernama melaporkan beliau berkata tiga logo tersebut ialah Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Logo Warisan akan digunakan oleh Warisan sendiri, DAP dan Amanah manakala calon-calon UPKO dan PKR akan mengunakan logo masing-masing, kata beliau ketika mengumumkan perkara demikian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Mohd Shafie berkata setakat ini Warisan, DAP, UPKO dan Amanah akan bertanding di 66 kerusi manakala selebihnya akan ditandingi PKR yang akan membuat pengumuman mengenai perkara itu kemudian.

Warisan mendapat 46 kerusi, UPKO (12 kerusi), DAP (tujuh kerusi), PKR (tujuh kerusi) dan Amanah (satu kerusi), menyaksikan mereka bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri akan mempertahankan kerusi DUN Senallang.

Dua orang bekas menteri pusat adalah antara 66 calon tersebut dan mereka ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan bekas Menteri Pelancongan Datuk Mohamaddin Ketapi.

Kedua-dua mereka akan bertanding di bawah tiket Warisan dengan Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang akan beradu di kerusi Moyog yang terletak dalam parlimen Penampang manakala Mohamaddin di kerusi baharu Segama.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon, Pengerusi UPKO Datuk Seri Madius Tangau dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Shafie dalam ucapannya berkata adalah penting kepada gabungan itu meletakkan calon yang boleh bekerja dan menang untuk rakyat serta membentuk pasukan yang besar untuk kekal mentadbir negeri ini.

“Sabah ini perlu kita pertahankan. Kita perlu berkhidmat kepada rakyat. PRN ini amat mencabar, cabarannya bukan hanya dari luar sahaja.

“Orang pilih kita bukan pasal duit, tapi boleh ubah jauh lebih baik. Saya terapkan nilai-nilai tinggi untuk ubah masyarakat. Kerana itu amat penting kita letak calon yang tepat,” kata Mohd Shafie diikuti dengan tepukan gemuruh.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai hari mengundi manakala penamaan calon Sabtu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");