Panasnya Hari Ini

PRN Sabah: Warisan Terdesak Raih Dukungan Rakyat – Azmin

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penyebaran video lama berhubungan sokongan beliau kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai terdesak dan cuba mendapatkan perhatian murahan.

Astro Awani melaporkan Azmin berkata, ucapan tersebut dibuat ketika beliau turun ke Parlimen Kimanis dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Januari lalu untuk membantu calon Warisan yang merupakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Saya dimaklumkan bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menularkan ucapan saya dalam satu sidang media yang kononnya saya memberi sokongan kepada Warisan.

“Penyebaran ucapan tersebut yang diulang semula beberapa jam sebelum hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan bahawa Warisan berada dalam situasi yang kian terdesak dan cuba mendapatkan sokongan saya untuk calonnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular dalam media sosial satu klip video sidang media Mohamed Azmin berdurasi 28 saat yang meminta agar rakyat memberikan sokongan kepada calon Warisan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin mengajak semua rakyat Sabah untuk menzahirkan sokongan kuat dan padu kepada calon PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN esok.

“Saya telah menjelajah ke hampir seluruh Negeri Sabah termasuk kawasan pedalaman sepanjang tempoh kempen PRN Sabah ini.

“Dalam program-program menyantuni rakyat Sabah, saya dapat merasakan bahawa dukungan rakyat cukup kuat dan utuh kepada PN dan rakan-rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menuntut perubahan pada hari esok.

“Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah mendambakan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");