KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini, diberitahu pegawai kerajaan sentiasa cuba memenangi hati Datin Seri Rosmah Mansor dengan segala permintaan serta kehendak isteri bekas Perdana Menteri itu akan diusahakan sedaya upaya sehingga berjaya.
BH Online melaporkan Bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor dalam keterangannya berkata, beliau juga mendapati Rosmah mempunyai pengaruh yang besar dalam jentera pentadbiran kerajaan di mana agensi dan pegawai kerajaan sentiasa keberatan menolak kehendak dan permintaan Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM).
Saksi pendakwaan ke-21 itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata sepanjang kerjayanya di FLOM, beliau mendapati bahagian berkenaan amat digeruni oleh agensi kerajaan kerana gandingan kedudukan dan reputasi Rosmah serta Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod selaku Ketua Bahagian Khas.
“Datin Seri Rosmah dilihat oleh agensi kerajaan sebagai isteri Perdana Menteri yang berpengaruh manakala Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod terkenal dengan ketegasan di kalangan pegawai kerajaan.
“Daripada pengalaman saya bekerja bersama warga perkhidmatan awam, saya dapati Datin Seri Rosmah mempunyai pengaruh besar ke atas mereka kerana beberapa faktor.
“Faktor utama adalah ketakutan warga perkhidmatan awam terhadapnya (Rosmah) yang dilihat sebagai isteri Perdana Menteri yang garang dan boleh mempengaruhi keputusan serta tindakan Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Rizal, Rosmah berkebolehan mempengaruhi Perdana Menteri untuk memindahkan pegawai kerajaan yang menentang atau mengingkari permintaan beliau ke jawatan yang kurang penting atau dalam istilah biasa penjawat awam iaitu ‘peti sejuk’ atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin.
Beliau berkata, fakta itu yang diperoleh ketika bercampur dengan warga perkhidmatan awam ketika itu adalah tidak benar dan hanya khabar angin untuk memburukkan imej dan reputasi beliau (Rosmah) di kalangan penjawat awam.
Katanya, sebagai pegawai khas kepada Rosmah (ketika itu), beliau sentiasa akan mempertahankan imej ketuanya.
Rizal berkata demikian dalam prosiding perbicaraan terhadap Rosmah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.