Membawang Hari Ini

Sandra Big Stage masih koma, keluarga mohon henti sebar gambar di ICU

KUALA LUMPUR – Netizen diminta berhenti daripada menyebarkan gambar peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne yang kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan jalan raya Sabtu lalu.

Ibu saudaranya, Shirlly ElyCassandra berkata, pihak keluarganya dengan rasa rendah hati memohon agar foto pelantun lagu Hey! Kau dalam keadaan tidak sedarkan diri di ICU tidak terus disebarkan.

“Kami mohon pada semua untuk menghormati privasi keluarga kami. Apa yang kami perlukan sekarang ini adalah doa tulus ikhlas daripada semua pihak untuk kesembuhan Sandra Dianne supaya dia cepat sedar daripada koma.

“Hentikan berkongsi pautan gambar tersebut. Gambar yang telah dimuat naik oleh media terbabit tanpa mendapat izin daripada kami sekeluarga,” kata Shirlly melalui satu hantaran status dalam Facebook miliknya sejam lalu.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan media daripada syarikat pengurusan Sandra, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn. Bhd, penyanyi tersebut masih belum sedarkan diri.

“Sandra kini masih menerima rawatan di ICU, Hospital Putrajaya dan masih belum sedarkan diri.

“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kami masih menanti perkembangan lanjut mengenai keadaan Sandra. Sebarang perkembangan terbaharu keadaannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tulis kenyataan tersebut.

Berhubung status penyanyi itu dalam program Big Stage 2020, menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal pula berkata, apa jua keputusan yang akan diambil selepas ini adalah bergantung kepada nasihat doktor dan pakar.

“Biarpun penyertaan Sandra dikecualikan bermula pada minggu ini sehingga tempoh yang akan diberitahu, pihak produksi akan tetap meneruskan bayaran penuh elaun Big Stage 2020 kepadanya sehingga penganjuran musim ini tamat.

“Kami juga dengan berat hati ingin memaklumkan di sini tentang pelan perlindungan insuran yang diambil ke atas semua program terbitan Astro hanya meliputi pemegang polisi yang berada di dalam kawasan rakaman sahaja,” kata Emarina dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sandra terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP) ketika dalam perjalanan menuju Putrajaya untuk sesi latihan Big Stage.

Dalam sekeping yang tersebar, keadaan kereta Sandra agak teruk terutama pada bahagian depan. Malah, cermin hadapan dan belakang juga pecah. – K! ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");