Panasnya Hari Ini

“Saya Tak Ada Mercedes, Vellfire”, Kehidupan Mewah Rizal Mansor Dipersoal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rizal Mansor diasak peguam Datin Seri Rosmah Mansor mengenai kehidupan mewahnya sebagai penjawat awam dengan gaji RM7,000 dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri itu, hari ini.

Terdahulu, sebaik saja prosiding perbicaraan bermula kira-kira 9.45 pagi, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memulakan soalan dengan bertanyakan Rizal sama ada beliau seorang penjawat awam.

BH Online melaporkan saksi ke-21 pendakwaan yang juga bekas pegawai khas Rosmah menjawab: “Ya dan penjawat awam sepenuh masa.”

Mendengar jawapan itu, Jagjit kemudian membangkitkan gaji diterima Rizal sepanjang bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri dengan Gred-48, iaitu sebanyak RM7,000

Jagjit: Setuju, keseluruhan gaji dan elaun bagi tempoh perkhidmatan adalah sebanyak RM660,282.72

“Dengan gaji sebanyak itu, anda tinggal di sebuah rumah bernilai RM3.5 juta, memiliki kereta Mercedes Benz, BMW, Audi, Toyota Vellfire dan Honda Odyssey.

“Sekalipun anda tidak membelanjakan satu sen pun… Kita andaikan anda hanya hidup dengan udara, air dan kasih sayang. Tidak mungkin anda mampu memiliki kehidupan mewah seperti itu.”

Rizal: Tidak setuju. Saya tidak bersetuju dengan fakta yang dibangkitkan.

“Saya tidak memiliki Mercedes dan Vellfire.”

Suasana mahkamah kemudian bertukar tegang apabila Rizal cuba memberi penjelasan namun dipintas Jagjit.

Jagjit: Audi, Odyssey?

Rizal: Ya.

Jagjit: Satu-satunya cara anda mampu hidup mewah adalah kerana anda seorang mengamalkan rasuah?

Rizal: Tidak setuju.

Menjawab soalan Jagjit, sama ada dalam keterangan kerjanya, beliau dibenarkan untuk mendapatkan sumbangan politik, Rizal sekali lagi menyatakan: “Tidak.”

Jagjit: Sumbangan politik semuanya dilakukan oleh anda secara tidak sah?

Rizal: Tidak setuju, pemahaman saya mengenai perkara itu (sumbangan politik) adalah berbeza.

Jagjit: Ada resit daripada semua wang yang dikumpul?

Rizal: Tidak

Jagjit: Setuju bahawa wang yang diberikan tidak pernah diterima oleh Rosmah?

Rizal: Sangat tidak bersetuju.

Jagjit: Saya letakkan kepada anda bahawa sebenarnya, kesemua bukti ini adalah keterangan palsu untuk mengenakan Rosmah dan bertujuan membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan?

Rizal: Saya sudah mengangkat sumpah dan bercakap benar.

Terdahulu, perbicaraan dijadualkan bersidang sepanjang hari, bagaimanapun, sebaik kembali daripada rehat, Jagjit memberitahu mahkamah Rosmah mengalami sakit gigi.

Jagjit memohon supaya kes ditangguhkan sebentar bagi membolehkan anak guamnya mendapatkan rawatan segera memandangkan beliau berada dalam kesakitan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan supaya kes diteruskan sehingga jam 12 tengah hari sebelum perbicaraan ditangguhkan.

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi Abang Samsudin menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Khamis ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");