Berita Hari Ini

Situasi di Sabah terkawal, kata KP Kesihatan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan situasi jangkitan Covid-19 di Sabah masih terkawal, dan pilihan raya negeri pada Sabtu ini tidak perlu ditangguhkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga kini sebanyak 652 kes positif daripada tujuh kluster dilaporkan di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata keadaan masih terkawal berdasarkan kepada pemantauan KKM di negeri itu.

“Buat masa ini kami dapat mengawal keadaan. Apa yang lebih penting adalah orang awam dan petugas barisan hadapan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika kita patuh kepada penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka kita dapat mengawal penularan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita sama ada pilihan raya negeri Sabah terpaksa ditunda susulan lonjakan kes Covid-19 dan kemunculan kluster baharu di negeri itu ketika ini.

Daripada 82 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 60 dikesan di Sabah. Satu lagi kluster dikesan di Semporna, dipanggil kluster Bangau-Bangau.

KKM telah menjalankan pengesanan kes secara aktif di Lahad Datu dan Tawau, termasuk Semporna dan Kunak, di mana kluster baharu dikesan, katanya.

Tambah beliau, kaunter khas akan diletakkan di pusat mengundi bagi individu yang sedang menjalani kuarantin.

Dua kakitangan KKM memakai pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) juga akan ditempatkan di kaunter untuk membantu pengundi.

“Kita akan membenarkan individu yang dikuarantin untuk keluar mengundi dan mereka akan dipantau.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara semalam memutuskan pengundi Sabah yang sedang menjalani kuarantin atau menunjukkan gejala dikaitkan dengan Covid-19 seperti demam dan selesema dibenarkan mengundi.

Bagaimanapun, pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital tidak dibenarkan mengundi.

Dr Noor Hisham juga berkata individu yang pulang dari Sabah dan mengalami gejala diwajibkan menjalani ujian Covid-19.

Lebih dari sejuta pengundi dijangka akan membuang undi pada pilihan raya negeri Sabah, Sabtu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");