Berita Hari Ini

Slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ Lebih Universal Berbanding ‘Sayangi Sawitku’, Kata Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR – Slogan baharu kempen penerangan sawit, ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang ditukar daripada ‘Sayangi Sawitku’ adalah lebih bersifat universal dan boleh diterima pakai di seluruh dunia.

Bernama melaporkan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata melalui slogan baharu itu, kementerian turut yakin akan dapat menembusi pasaran-pasaran baharu seperti di rantau Timur Tengah, Asia Tenggara dan juga negara-negara di benua Afrika.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperkasakan usaha strategik sedia ada dan akan membuat penambahbaikan ke atas dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini, dengan beberapa pendekatan yang berbeza.

“Pendekatan baharu ini akan didokong dengan slogan baharu iaitu Sawit Anugerah Tuhan atau ‘Palm Oil is a God Gift’ yang lebih universal dan pada masa sama, kementerian juga akan memperkukuhkan pasaran-pasaran sedia ada dengan pendekatan yang lebih mantap,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu mengenai usaha strategik penggunaan slogan baharu itu bagi menggantikan ‘Sayangi Sawitku’ sebagai langkah memperkasakan eksport agro-komoditi itu dan menangani kempen anti kelapa sawit dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Mengulas mengenai usaha menangani kempen anti sawit di negara EU, Willie berkata kementerian telah melaksanakan pelbagai langkah promosi melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke negara-negara EU.

“Aktiviti promosi ini juga telah melibatkan kerjasama daripada pejabat Kedutaan Malaysia di Eropah khususnya bagi perkara yang melibatkan perhubungan antara kerajaan, serta penglibatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam aspek pemasaran.

“Malaysia juga telah mengadakan kerjasama khususnya dalam bidang penyelidikan, kemampanan dan pekebun kecil, contohnya dengan Perancis, Belanda dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata perbincangan secara berterusan bersama dengan pihak berkepentingan di EU juga sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan isu persepsi negatif terhadap minyak sawit, menerusi misi ekonomi, selain promosi minyak sawit ke negara-negara EU.

“Misi ini antara lain menyampaikan perkara mengenai hasil kajian saintifik minyak sawit yang membuktikan kebaikan sawit yang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi seperti Vitamin E dari Tocotrienol dan lain-lain.

“Sebab itu kita melihat sawit sebagai salah satu anugerah tuhan yang banyak nilai nutrisi, maka kita haruslah menghargai sawit dan tidak seharusnya didiskriminasi negara-negara lain dan pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");