Berita Hari Ini

Tarik balik lesen pusat hiburan degil – Ismail Sabri

Lesen premis hiburan seperti kelab malam dan pub akan ditarik jika dikesan masih beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menegaskan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata kerajaan masih tidak membenarkan kelab malam atau pusat hiburan beroperasi buat masa ini berikutan pandemik COVID-19.

“Kalau kita lihat, tangkapan kerana operasi kelab malam dan pub berlaku hampir setiap hari kerana premis seumpama itu masih tersenarai sebagai satu larangan.

“Arahan kita jelas, tak boleh buka langsung. Ada hari-hari yang kadang-kala menyaksikan beratus tangkapan dibuat kerana aktiviti seumpama ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan Prosedur Operasi Standard COVID-19 sempena Kempen Bulan Kemerdekaan Perbadanan Nasional di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diberi arahan untuk menarik semula lesen premis terbabit, sekali gus menghentikan operasi mereka untuk selama-lamanya jika masih berdegil.

“Kita memang tak benarkan kelab malam beroperasi kerana sukar melaksanakan peraturan penjarakan fizikal. Bagaimana mahu kawal peraturan itu di dalam kelab,” katanya.

Setakat semalam, seramai 608 individu ditahan kerana terbabit dalam aktiviti di kelab malam dan pub.

Mereka adalah antara 763 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan lain, termasuk judi sabung ayam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");