Perak Hari Ini

Tidak Ada Perbincangan Mahu Jual Lumut Port – PCB

IPOH: Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perak Corporation Bhd (PCB) menafikan dakwaan Pelabuhan Lumut atau Lumut Port bakal dijual kepada pelabur asing.

PCB dalam satu kenyataan berkata malah tiada sebarang perbincangan antara kerajaan negeri dengan mana-mana pihak lain bagi penjualan Lumut Port seperti didakwa.

“Pihak syarikat ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dimulakan antara pihak Kerajaan Negeri Perak dengan mana-mana pihak lain bagi penjualan Lumut Port.

“Pihak syarikat ingin menegaskan bahawa ia tidak ada sebarang niat untuk menjual Lumut Port,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media berkaitan kenyataan Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Perak Datuk Hamidah Osman yang mendakwa syarikat tersebut berdepan tindakan bankrap dan bakal kehilangan aset berikutan bebanan hutang yang dihadapi PCB.

Sebelum ini Hamidah mendakwa jumlah liabiliti ditanggung PCB iaitu RM751 juta melebihi aset syarikat yang sedia ada yang berjumlah RM742 juta.

Jelas PCB, selain Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP), anak syarikatnya, syarikat bersekutu mahupun PCB sendiri tidak diletakkan dalam proses pembubaran, penggulungan atau ‘Judicial Management’.

Mengulas tentang dakwaan pinjaman RM750 juta bagi tujuan pelaburan dan bayaran kontraktor di Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS), PCB berkata pelaburan dalam bentuk modal saham bernilai RM58.35 juta.

Katanya jumlah keseluruhan pendahuluan pemegang saham dari kumpulan PCB adalah RM275.2 juta dan ianya dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman serta pinjaman bank.

Sementara itu dalam kenyataan sama PCB turut menjelaskan dakwaan berkenaan tempoh 90 hari bermula 23 Julai oleh Mahkamah Tinggi terhadap syarikat bagi menyelesaikan kesemua masalah hutang yang dihadapi.

Katanya Perintah Larangan 90 hari tersebut dipohon oleh PCB bagi memuktamadkan cadangan Skim Pengurusan antara syarikat dan pemiutang yang mana ianya akan dikemukakan dalam satu mesyuarat kelak.

“Perlanjutan tempoh Perintah Larangan boleh diberikan oleh Mahkamah Tinggi di sini, dengan syarat bahawa kesemua syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Seksyen 368 Akta Syarikat 2016 dipenuhi.

“Pada 3 Julai lalu, syarikat telah melantik M&A Securities Sdn. Bhd. sebagai ‘Principal Adviser’ bagi mencadangkan pelan penstrukturan semula.

“Pihak Syarikat akan membuat pengumuman lanjutan kepada Bursa Securities sebarang perkembangan material berkaitan pelan penstrukturan semula bagi mengeluarkan PCB dari status PN17,” kata kenyataan itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");