Berita Hari Ini

Timbalan Pengarah Didakwa, Sebabkan Kakitangan Dipecat Selepas Beri Maklumat Pada SPRM

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Education Malaysia Global Services (EMGS), Wafiy Abdul Aziz, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat selepas memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BH Online melaporkan Wafiy, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wafiy didakwa mengambil tindakan memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi syarikat itu supaya menandatangani dokumen ‘penamatan perkhidmatan’ sebagai tindak balas kerana mendedahkan kelakuan tidak wajar tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Hampshire Office 1, Jalan Mayang Sari, di sini, 9 Januari lalu, mengikut Seksyen 10 (3) (b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Namun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Siti Sarah Khalili, memaklumkan pernah dituduh di mahkamah sama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan melaporkan diri dua kali sebulan.

“Kami memohon mahkamah untuk mengekalkan jumlah jaminan terdahulu, iaitu sebanyak RM12,000, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri kepada Pejabat SPRM,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan yang ditetapkan sebelum ini.

Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan sehingga kes selesai, dan mahkamah menetapkan tarikh 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");