Perak Hari Ini

Tolak Dua Tawaran Kerja Demi Ayah

LUMUT: Seorang remaja terpaksa menolak tawaran kerja yang diterimanya dari Kuala Lumpur dan Ipoh pada tahun lalu demi menjaga ayahnya yang lumpuh akibat angin ahmar.

Hisbullah Azman, 22 berkata dua tawaran kerja sebagai penyunting video itu diterima selepas dia tamat pengajian diploma dalam bidang Multimedia Dan Komunikasi dari sebuah kolej swasta di Ipoh.

Namun dia sedikit pun tidak berasa kecewa, sebaliknya menyifatkan pengorbanannya itu dilakukan atas rasa tanggungjawab sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik.

“Saya tidak berasa kecewa kerana saya kini ada perancangan untuk menjalankan perniagaan sendiri bagi membantu keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tebuk Yan, Pantai Remis, dekat sini, pada Rabu.

Ujar Hisbullah selain membantu ibu dalam menguruskan ayahnya, dia turut bertanggungjawab menghantar dan mengambil dua adik perempuannya, yang masing-masing berumur 19 dan 13 tahun di sekolah.

“Saya sekarang sepenuh masa membantu ibu menjaga ayah. Saya juga membantu memandikan dan membawa ayah ke hospital yang sejauh kira-kira 4 kilometer dari rumah bagi pemeriksaan doktor serta mendapatkan rawatan susulan.

“Selain memberinya makan, ada kalanya saya terpaksa tidur lewat dalam menguruskan ayah,” katanya lagi.

Sementara itu, ibunya, Hayati Ismail, 50 berkata suaminya, Azman Ahmad, 50 mula diserang angin ahmar ringan sejak 10 tahun lalu.

Namun katanya pada tiga tahun kebelakangan Azman mula diserang angin ahmar sehingga mengakibatkan suaminya lumpuh.

Hayati berkata dia bergantung sepenuhnya pada sumbangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM600 bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menguruskan suaminya.

Katanya lagi, disebabkan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, dia terpaksa berjimat cermat memandangkan dua anaknya masih bersekolah.

“Perbelanjaan sebulan untuk suami misalnya untuk susu kira-kira RM1,200 manakala lampin dewasa RM500,” katanya.

Azman merupakan antara penerima sumbangan agihan zakat bagi kategori bantuan bulanan dan perubatan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Ketika dikunjungi Skuad Prihatin Asnaf (SPA) bersama wakil badan korporat dalam Program Ziarah Korporat 2020, Hayati yang mewakili suaminya menerima sumbangan berupa kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan asas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");