Berita Hari Ini

‘Tugas Guru Sudah Cukup Terbeban, Bermula Awal Pagi’

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab memastikan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tidak seharusnya diletakkan kepada guru semata-mata, sebaliknya ibu bapa harus memainkan peranan sama agar anak mereka tidak terkena jangkitan virus berkenaan.

Utusan Online melaporkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NTUP), Harry Tan Huat Hock berkata, guru sudah cukup terbeban dengan kerja-kerja sedia ada bermula awal pagi waktu persekolahan hingga petang.

“Tugas guru bermula sebelum fajar menyinsing lagi iaitu berdiri dan menyambut kedatangan pelajar di sekolah. Guru-guru akan memastikan suhu badan pelajar diambil setiap hari mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

“Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan, guru-guru terpaksa menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng, disiplin pelajar, pelajar berkeliaran di sekolah, kes curi dan sebagainya.

“Tidak cukup dengan itu, guru turut bertugas dengan membuat persediaan bagi menyambut kedatangan orang-orang kenamaan, pegawai daripada kementerian, membaiki kerosakan di tandas, bumbung sekolah dan menjaga perihal kantin dan pelbagai lagi tugasan demi keselesaan dan keselamatan pelajar ketika di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan pandangan pembaca, Izyan Qistina Qusairi yang disiarkan dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Di mana guru selepas waktu sekolah? Isnin lalu.

Dia berpendapat, murid di sekolah bergaul bebas sehingga lupa pesanan untuk mengamalkan penjarakan fizikal yang membimbangkan ramai pihak di tengah-tengah pandemik Covid-19 masih berkembang.

Malah, individu itu turut mempersoalkan tugas guru yang tidak mengawal atau memantau pelajar bergaul dan bermain seolah-olah negara sudah bebas dari wabak tersebut berbanding meningkatkan peraturan di sekolah rentetan wabak masih berada pada tahap merisaukan.

Pada ketika ini, negara berdepan dengan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat terutama di Sabah.

Sementara itu, Persatuan Ikatan Guru-Guru Islam Malaysia (iGURU) berkata, tindakan menyalahkan guru semata- mata bukan jawapan kepada isu yang timbul tetapi ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk masyarakat setempat serta pihak penguasa bagi mengingatkan pelajar agar mematuhi SOP terutama selepas sesi pembelajaran selesai.

“Kita tidak menafikan ada guru yang tidak dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik namun untuk meletakkan beban pada guru bagi memantau pelajar selepas waktu persekolahan akan menambahkan tekanan dan bebanan pada guru.

“Tindakan sebahagian guru memantau pelajar adalah lebih kepada tanggungjawab sosial yang di luar waktu kerja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");