Perak Hari Ini

Tukang Kasut Selesa Tinggal Dalam Pondok Kecil Di Ipoh

IPOH: “Alhamdulillah saya bersyukur dan selesa untuk duduk di sini,” demikian luah seorang tukang kasut yang tinggal di sebuah pondok kecil di Jalan Sultan Nazrin Shah, yang berhampiran dengan bangunan pusat beli belah Megoplex Medan Gopeng, di sini.

Osman Sidek, 62 berkata dia mengambil keputusan untuk tinggal di pondok yang juga tempat dia mengambil upah menjahit kasut selepas kematian isterinya pada Julai lalu.

“Sebelum ini ada terfikir untuk tinggal menyewa dengan orang namun saya bimbang akan keselamatan dan barang-barang saya ini.

“Apabila isteri, Suhaila Shamsuddin, 45 meninggal pada 23 Julai lalu, saya tinggal sebatang kara. Kemudian saya buat keputusan untuk tinggal di pondok ini sahaja,” katanya ketika ditemui PerakToday, di sini, hari ini.

 

 

Tukang kasut yang berasal dari Selayang di Selangor itu berkata pondok yang berkeluasan 1.8 meter x 1.2 meter itu mempunyai ruang yang cukup buatnya untuk bekerja dan melelapkan mata.

Katanya selepas berpindah ke sini dari Tapah pada 2008, dia telah membina pondok tersebut namun disebabkan ianya diperbuat daripada kayu, lama-kelamaan ia mulai reput.

“Semasa isteri saya mulai sakit pada Oktober tahun lalu, saya berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh dengan menjaganya sehingga tiba hujung hayatnya.

“Kemudian, keadaan menjadi semakin sukar apabila perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan COVID-19 yang mana saya menghadapi masalah kewangan.

“Ada rakan yang prihatin meminta bantuan untuk saya di Facebook. Malah ada juga pelanggan tetap yang turut menyumbang kepada saya. Hasilnya saya berjaya mengumpul sekitar RM3,000.

“Saya memanfaatkannya dengan mendapatkan pondok baharu yang mana ada ruang untuk saya tinggal dan bekerja,” ujarnya.

Kata Osman lagi, malah ada seorang usahawan yang bermurah hati dengan membenarkan dia menggunakan ruang pejabat berhampiran untuknya tinggal, namun dia menggunakan ruang tersebut untuk menumpang mandi, bersolat dan mengecas telefon.

Menurutnya dia yang menjadi tukang kasut hampir 47 tahun itu tidak pernah mengalami sebarang masalah dan kejadian tidak diingini sepanjang di pondok tersebut.

“Kita bekerja harus beramanah dan ikhlas. Dalam saya membaiki kasut, saya harus pastikan saya berpuas hati sebelum ianya diserahkan kembali kepada pelanggan.

“Selepas kisah saya tular di media sosial, kehadiran pelanggan makin ramai. Saya bersyukur ada pelanggan yang sehingga dari Tanjung Malim dan Taiping tetap mahukan saya membaiki kasut mereka,” katanya.

Tambahnya dia mahu terus untuk tinggal dan menghabiskan sisa umur serta kudrat yang ada di pondok tersebut.

Perniagaan Osman beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari kecuali Ahad yang mana dia akan menziarahi pusara isterinya di Tapah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");