Perak Hari Ini

Ukir Senyuman Terima Tangan Elektronik Cetakan 3D

IPOH: Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Izza Adeera Faaizul Hisham, 7, mampu mengukir senyuman apabila menerima tangan kanan elektronik prototaip cetakan tiga dimensi (3D).

Bapanya, Faaizul Hisham Die, 42 berkata anak kedua daripada dua cahaya matanya itu pernah menerima tangan palsu sebelum ini.

Namun katanya disebabkan keadaan fizikal tangan anaknya itu kecil, Izza Adeera tidak berasa selasa untuk menggunakannya dalam tempoh masa lama.

Izza Adeera bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed

“Tangan palsu sebelum ini berbentuk mekanikal dan yang kedua ini berbentuk elektronik. Namun dia tidak ada masalah untuk menggunakan tangan palsu yang baru ini.

“Rekaannya masih sama cuma tangan palsu sebelum ini memerlukan kekuatan di sikunya. Disebabkan tangannya kecil dia tidak dapat memakainya dengan lebih lama.

“Berbanding tangan palsu baharu ini hanya berfungsi menggunakan sensor dan mudah untuk dia memegang barang,” katanya yang juga merupakan seorang Jurutera Marin di Lumut.

Menurut bapa tunggal yang membesarkan anak-anaknya sejak 2013 itu, Izza Adeera tidak pernah berasa rendah diri sebaliknya sudah menerima hakikat kekurangan yang dialaminya sejak daripada lahir.

“Dia sudah biasa dengan keadaannya cuma adakala mengalami kesukaran dalam melakukan tugas harian. Misalnya dia tidak boleh memegang dua barang dalam masa yang sama,” ujarnya.

(tiga dari kiri gambar) Bapa kepada Izza Adeera, Faaizul Hisham Die

Terdahulu Izza Adeera menerima tangan kanan elektronik cetakan 3D yang dihasilkan oleh syarikat MyVista dalam Majlis Penyerahan Tangan Prototaip Elektronik Cetakan 3D di Hub Inovasi dan Multimedia di Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan

Ketua Pegawai Eksekutif MyVista, Sujana Mohd Rejab atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Su’ berkata inisiatif yang dilakukannya itu adalah usaha bagi membentuk keyakinan dalam kalangan kanak-kanak OKU.

‘Pak Su’ memasangkan tangan elektronik cetakan 3D kepada Izza Adeera Faaizul Hisham

Mengulas lanjut katanya sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 tangan elektronik cetakan 3D yang mana setiap satunya menelan kos RM5,000 ke RM10,000.

“Kita tidak mahu membebankan pihak penaja atau yang memberikan sumbangan. Kita lebih kepada memberi khidmat sosial, jadi kita juga tidak mahu membebankan pihak penerima.

“Ini kerana kita memikirkan bahawa tangan atau kaki elektronik seperti itu memerlukan penyelenggaraan di kemudian hari.

“Bagi tangan elektronik seperti itu hanya memerlukan penyelenggaraan yang kecil. Disebabkan cetakan 3D ini agak rapuh, justeru kos untuk membaik pulih bahagian yang rosak tidak terlalu mahal,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed ketika ditemui berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan MyVista bagi menjayakan usaha seperti itu pada masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");