Berita Hari Ini

1,970 Jawatan Kosong Pelbagai Industri Di Perak Ditawarkan

IPOH – Sebanyak 1,970 kekosongan jawatan dalam pelbagai industri yang memerlukan penempatan segera boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak bagi membolehkan operasinya tidak terjejas atas faktor guna tenaga yang tidak berada pada tahap maksimum.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata mereka yang sedang mencari pekerjaan diseru mengambil peluang yang ditawarkan oleh industri melalui agensi pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

“Sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima oleh PASAK bermula Jun sehingga September lepas meliputi sektor pembuatan 770 kekosongan, automotif 881 kekosongan, perkhidmatan 122 kekosongan dan lain-lain sektor, 474 kekosongan jawatan.

“Namun begitu, daripada sejumlah 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah PASAK, hanya 277 pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri sehingga kini.

“Ini bermakna, masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat negeri Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata industri menghadapi masalah kekurangan permohonan daripada warga tempatan untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan khususnya untuk perjawatan sokongan dalam industri pembuatan.

Justeru, kerajaan negeri menyeru kepada pencari kerja untuk menghubungi PASAK melalui talian 05-3183290 atau melayari Facebook Pusat Aspirasi Anak Perak/PASAK untuk memperoleh informasi terkini berkaitan peluang pekerjaan di Perak.

Selain itu, katanya peluang latihan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebarangkalian mereka untuk diterima bekerja atau menceburi bidang keusahawanan dalam industri kecil dan sederhana.

Kerajaan negeri juga telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan rakyat khususnya dalam membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri selain komited dalam memfokuskan peningkatan modal insan dalam bidang kemahiran. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");