Perak Hari Ini

‘Ada Roti Canai Kinabatangan Di Ipoh’

IPOH – Walaupun nama roti canainya diambil daripada salah satu daerah di Sabah namun juadah tersebut hanya terdapat di sini sahaja.

‘Roti Canai Kinabatangan’ atau Roti Kinabatangan merupakan antara juadah yang tular di media sosial baru-baru ini dan menjadi pilihan utama para pelanggan apabila singgah ke Warung Ammar yang terletak di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun dekat sini.

 

Selepas roti itu siap dicanai, ianya akan diletakkan daging ayam berserta telur sebelum ianya digulung memanjang.

Sebelum tiba ke meja pelanggan, Roti Kinabatangan akan ‘dibanjiri’ sama dengan kuah dal atau kari ayam ataupun daging bersama-sama sambal.

Menurut pengusaha warung, Mastura Martinis, 36, nama roti tersebut diambil bersempena dengan nama jambatan yang menyeberangi Sungai Kinabatangan di Sabah.

“Disebabkan roti itu memanjang seolah-olah seperti jambatan, kami menamakan ia sebagai Roti Kinabatangan yang bersempena dengan nama Jambatan Kinabatangan.

“Walaupun begitu, menu ini tidak ada di Sabah sebaliknya ianya adalah resipi kami sendiri apabila saya ikut suami tinggal di sini. Dalam Ipoh setakat ini, Roti Kinabatangan hanya ada warung kami sahaja,” katanya ketika ditemui PerakToday, hari ini.

Mastura yang berasal dari Lahad Datu itu berkata adik bongsunya Muhd Perdaus Martini, 21 yang merupakan penebar roti canai di warungnya itu juga mempelajari teknik menebar roti canai secara sendiri.

Katanya disebabkan keunikan Roti Kinabatangan itu warungnya sudah mula dikunjungi pelanggan sekitar jam 8.30 pagi.

Malah katanya ada pelanggan yang berasal dari Sabah namun menetap di Putrajaya, datang ke warungnya bagi mencuba sendiri juadah istimewa tersebut.

Selain Roti Kinabatangan, menu lain yang juga menjadi pilihan utama pelanggan ke warung yang diambil sempena dengan nama anak bongsu Mastrua, Ammar Azrul, 6, itu adalah ‘Roti Sarang’.

“Roti tersebut akan dibentuk seperti sarang burung sebelum ditengah-tengahnya akan diletakkan telur. Dan sebagai tambahan ianya akan diletakkan daging yang dicincang,” kata Mastura.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, ‘Martabak Leleh’ atau dikenali di Sabah sebagai Martabak Jawa pula merupakan juadah yang turut tidak ketinggalan mendapat sambutan di warungnya.

Katanya selain roti canai, juadah lain turut tersedia di Warung Ammar antaranya mi kari, mi kicap, dan nasi berlauk selain menambah akan memperkenalkan juadah roti canai terbaru pada masa akan datang.

Juadah-juadah di Warung Ammar berharga sekitar RM3 sehingga RM8, dan ianya beroperasi seawal jam 7.30 pagi setiap hari kecuali Selasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");