Berita Hari Ini

ADUN Positif COVID-19, Kerajaan Melaka Mohon Maaf

MELAKA: Kerajaan negeri mengakui berlaku kesilapan teknikal berkaitan isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof yang didapati positif COVID-19, semalam.

BH Online melaporkan EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman, berkata siasatan awal mendapati berlaku kekeliruan berkaitan pemeriksaan hasil saringan ujian COVID-19 ke atas Amiruddin sehingga menyebabkan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah membuat keputusan yang salah.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memandang serius isu terbabit dan siasatan dalaman akan diteruskan sehingga menemui punca kesilapan berkenaan.

“Saya melihat ada kelemahan teknikal sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak sepatutnya itu. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), langkah penambahbaikan perlu dilakukan segera, manakala siasatan lanjut mengenainya perlu diteruskan.

“Jika disebabkan faktor kakitangan atau petugas, tindakan akan tetap dikenakan kepada mereka dan dengan rendah diri, kami memohon maaf kepada semua yang terbabit dengan isu itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ayer Molek, di sini hari ini.

Semalam, pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh, di sini, ditutup serta-merta selepas dikunjungi seorang ADUN yang dikatakan positif COVID-19.

ADUN yang pulang dari Sabah minggu lalu itu, dikatakan mengunjungi kompleks berkenaan kelmarin selepas tempoh kuarantin tiga hari ke atasnya tamat.

Amiruddin mendakwa ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya di PKD Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada Sabtu lalu adalah negatif.

Namun, empat hari selepas itu (kelmarin), pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan ujian itu positif pula.

Sementara itu, JKN dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya sedang mengesan kontak rapat kes COVID-19 membabitkan Amiruddin.

Katanya, jabatan itu dilaporkan sedang menghubungi kontak rapat ADUN terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung perkara itu.

“Selepas siasatan lanjut oleh JKN, kes ini dikategorikan sebagai kes import B (luar Melaka) di daerah Alor Gajah.

“Kontak rapat sedang dihubungi dan Jabatan Kesihatan sedang melakukan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook jabatan itu, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");