Perak Hari Ini

Bahan Arkib Perlu Dipertahankan Ketepatan Dan Kebenarannya- Sultan Perak

IPOH- Bahan arkib berperanan sebagai bahan bukti yang perlu dipertahankan ketepatan dan kebenarannya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beginda bertitah, kehilangan bahan arkib ialah kehilangan yang amat merugikan, menyamai kehilangan memori seseorang manusia, kehilangan yang tiada gantinya.

Justeru itu baginda bertitah, rekod sejarah yang lengkap memainkan peranan amat penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan.

Titah baginda, ia termasuk dengan kejayaan Malaysia memenangi kes tuntutan Pulau Sipadan – Ligitan pada tahun 2002, disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh, sementara kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan Pulau Batu Putih pada tahun 2008, disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama dalam pembuktian kes.

Baginda bertitah, arkib ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah, rekod umum dan dokumen-dokumen sejarah sesebuah negara, berperanan sebagai pusat sumber rujukan.

“Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629), mentakrifkan arkib bererti ‘rekod yang dipelihara bagi nilai kebangsaan atau sejarahnya yang kekal dan lama bertahan atau kedua-duanya’.

“Bahan-bahan yang disimpan di dalam arkib mempunyai ciri-ciri kesahihan (authenticity), keandalan (reliability), keutuhan (integrity) dan kebolehgunaan (useability); meletakkan status bahan-bahan tersebut sebagai bahan bukti yang dapat dipertahankan ketepatan dan kebenarannya,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, sejarah berperanan menghubung masa lampau dengan masa kini, dan sejarah wajar dijadikan kompas ketika melayari perjalanan menuju masa hadapan.

“Merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.

“Perbuatan mengubah fakta sejarah ialah perbuatan tidak adil, satu perlakuan jenayah intelek, satu perbuatan jenayah keilmuan, yang menafikan hak generasi terkemudian memperoleh fakta sebenar,” titah baginda.

Titah baginda lagi, sejarah menunjukkan koleksi bahan arkib tidak terlepas daripada ancaman dimusnahkan, seperti yang berlaku pasca Revolusi Perancis, apabila para revolusioner yang radikal mendesak dimusnahkan semua bahan abad kedua belas berkaitan ‘royal council’; namun desakan tersebut tidak dilaksanakan kerana dibantahi oleh suara-suara daripada kalangan konservatif yang lebih berpengaruh.

“Dipercayai ada dokumen-dokumen sejarah yang bernilai di negara China, telah hilang atau dimusnahkan ketika berlakunya Revolusi Budaya pada tahun 1966-1976, yang menyasar untuk menghapuskan adat lama, budaya lama, tabiat lama dan idea lama.

“Dunia menyaksikan kehancuran ketamadunan bangsa apabila beberapa institusi arkib dimusnahkan sekitar tahun sembilan puluhan di Liberia, di Burundi dan di Rwanda.

“Pada tahun 2003, akibat serangan Amerika Syarikat, 12 juta buku, manuskrip dan ukiran batu yang disimpan di Perpustakaan dan Pusat Arkib Negara Iraq telah musnah.

“Dilaporkan banjir besar yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur pada tahun 2014 telah mengakibatkan berlaku kerosakan terhadap dokumen dan rekod kerajaan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang telah membekalkan pelbagai bahan dan maklumat, membantu kerja-kerja penyelidikan baginda.

“Berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan Arkib Negara dalam usaha Beta menghasilkan dua buah buku sebelum ini, dan pada masa ini dalam proses menghasilkan buku ketiga, Beta yakin dengan tahap profesionalisme para arkivis, begitu juga dengan kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat yang berada dalam simpanan Arkib Negara.

“Secara peribadi, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang telah membekalkan pelbagai bahan dan maklumat, membantu kerja-kerja penyelidikan Beta,” titahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");