Perak Hari Ini

COVID-19: Jangkitan Ketika Aktiviti Futsal, Singgah Kedai Makan Dan Hadir Majlis Reunion

IPOH – Aktiviti futsal, singgah di kedai makan dan menghadiri majlis perjumpaan semula atau ‘reunion’ antara punca penularan terhadap sebahagian 18 kes COVID-19 di Perak, hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak memaklumkan seorang lelaki tempatan 24 tahun yang tinggal di Kerian telah mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 14 Oktober.

Katanya pada 11 Oktober dia mempunyai sejarah pendedahan kepada satu kes positif COVID-19 melalui permainan futsal dan makan bersama.

“Dia telah menjalani saringan kontak COVID-19 pada 17 Oktober yang mana ujian pengesahan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) didapati positif.

“Kes adalah jangkitan tempatan dan sebahagian daripada Kluster Buntar, “  katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu JKN Perak  memaklumkan seorang lelaki tempatan, 52, yang tinggal di Manjung disahkan positif COVID-19 melalui ujian RT-PCR pada 18 Oktober.

“Pada 11 Oktober, dia ada sejarah pendedahan kepada satu kes COVID-19 semasa singgah makan di sebuah kedai makan di mana kes COVID-19 bekerja.  Namun, kes tiada bergejala.

“Dia  telah menjalani saringan kontak COVID-19 pada 17 Oktober. Kes ini adalah kes jangkitan tempatan dan sebahagian dari Kluster Lekir,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama, JKN Perak mengesahkan terdapat kes positif wabak tersebut membabitkan pasangan suami isteri berusia 50 tahun di Daerah Kinta.

Katanya mereka telah menghadiri sebuah Majlis ‘Reunion’ bersama rakan-rakan di Shah Alam pada 3 Oktober dan pada 13 Oktober berikutnya wanita tersebut telah mengalami gejala demam dan keletihan.

“Mereka mendapat maklumat ada rakan semasa ‘reunion’ itu di Shah Alam telah disahkan kes positif COVID-19.

“Dia dan suami telah menjalani saringan COVID-19 pada 16 Oktober di sebuah makmal swasta di mana keputusan ujian pengesahan RT-PCR didapati positif. Kedua kes ini adalah kes import disyaki dari Shah Alam, Selangor,” kata JKN Perak.

Pada masa sama, JKN Perak memaklumkan empat lelaki warga tempatan berusia antara 26 sehingga 46 yang berdada dalam tahanan reman di Penjara Tapah positif COVID-19.

Katanya mereka telah dipindahkan ke penjara tersebut dari Penjara Kajang pada 21 September lalu.

“Pada 16 Oktober, mereka menjalani saringan COVID-19.  Namun, kes-kes tiada bergejala.  Pada 18 Oktober keputusan ujian pengesahan RT-PCR didapati positif.

“Kes ini adalah disyaki sebagai kes jangkitan tempatan. Siasatan lanjut punca sebenar jangkitan masih diteruskan,” jelasnya.

JKN Perak berkata kesemua kes telah diasingkan dan dimasukkan di hospital sementara pengesanan kontak rapat masih dijalankan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");