Perak Hari Ini

COVID-19: Murid Umur 7 Dan 10 Antara Terbabit Dalam Dua Kluster Di Perak

IPOH – Seorang murid perempuan berusia 7 tahun dan 10 tahun antara 18 kes positif COVID-19 di Perak yang masing-masing berada dalam Kluster Buntar dan Kluster Lekir.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan murid perempuan 7 tahun bersama seorang wanita 19 tahun yang menetap di Kerian mempunyai sejarah pendedahan kepada satu kes COVID-19 di sebuah rumah pengasuh.

Katanya wanita itu bekerja sebagai pembantu pengasuh manakala murid terbabit adalah anak pengasuh, masing-masing menetap di Kerian

“Mereka yang tidak bergejala telah menjalani saringan kontak COVID-19 pada 17 Oktober di klinik kesihatan.  Keputusan ujian pengesahan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada keesokannya adalah positif.

“Kes-kes ini adalah kes jangkitan tempatan dan sebahagian dari Kluster Buntar,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain itu JKN Perak berkata dalam kluster sama, seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun dan seorang bapa berusia 33 tahun disahkan positif COVID-19 menerusi ujian RT-PCR pada 18 Oktober.

Katanya kedua-dua kes yang tidak bergejala itu mempunyai sejarah pendedahan kepada ahli keluarga yang positif wabak berkenaan.

Sementara itu kes positif membabitkan seorang murid perempuan warga tempatan berusia 10 tahun yang tinggal di Manjung mempunyai sejarah pendedahan kepada seorang rakan sekelas di sekolah

Menurut JKN Perak, dia menjalani saringan kontak COVID-19 pada 17 Oktober dan keputusan ujian RT-PCR pada keesokannya didapati positif.

Dalam pada itu kenyataan sama turut memaklumkan jangkitan COVID-19 membabitkan seorang bapa berusia 46 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia 10 dah 15 tahun di Daerah Kinta.

“Pada 14 Oktober, bapa mula bergejala demam, batuk, sakit kepala, sakit badan dan cirit-birit. Pada 16 Oktober, anak 10 tahun bergejala demam sementara  anak 15 tahun tidak ada gejala.

“Mereka telah menjalani saringan COVID-19 pada 17 Oktober di sebuah hospital swasta dan keputusan ujian pantas (RTK) Antigen didapati positif. 

“Mereka telah dirujuk ke Hospital Teluk Intan. Keputusan ujian pengesahan RT-PCR pada 18 Oktober adalah positif. Punca jangkitan sedang disiasat dan kes-kes ini adalah kes jangkitan tempatan,” katanya.

Pada masa sama JKN Perak memaklumkan kesemua kes telah diasingkan dan dimasukkan di hospital sementara pengesanan kontak rapat masih dijalankan.

Siang tadi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki dan Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya masing-masing di Chemor, Ipoh manakala SK Tanah Kebun di Parit Buntar dilaporkan ditutup seminggu berikutan terdapat jangkitan COVID-19 membabitkan murid.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");