Perak Hari Ini

COVID-19: Perak Catat Dua Angka Kes Positif, 48 Di Pusat Tahanan LMS

IPOH – Perak mencatatkan dua angka kes positif COVID-19 sehingga tengah hari ini iaitu 52 kes membabitkan pesakit berumur lingkungan 22 tahun sehingga 66 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua kes tersebut telah diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya semua kes membabitkan jangkitan tempatan selain pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Jelas kenyataan itu, daripada 52 kes itu, 48 pesakit terdiri daripada lelaki warga tempatan di sebuah Pusat Tahanan di daerah Larut Matang Selama (LMS) yang berumur antara 35 ke 65 tahun.

Katanya mereka telah menjalani saringan COVID-19 pada 3 Oktober lalu sebagai kontak rapat terhadap satu kes positif COVID-19 yang mempunyai sejarah pergerakan ke Penjara Alor Setar pada 27 dan 28 September.

“Mereka ini berada di Pusat Tahanan sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Pada 10 Oktober , ada kes bergejala demam dan menerima rawatan di klinik Pusat Tahanan.

“Seterusnya, pada 13 Oktober, sampel ke-2 ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) telah diambil. Keputusan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) kedua pada 14 Oktober adalah positif,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, katanya bagi kes ke-49 ia membabitkan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang tinggal di daerah Hilir Perak telah mempunyai sejarah kontak dengan satu kes positif COVID-19 semasa menghadiri perhimpunan keluarga.

“Pada 6 Oktober, beliau mengalami gejala sakit kepala, sakit tekak. Pada 12 Oktober 2020, beliau menjalani saringan kontak COVID-19. Pada 14 Oktober, keputusan ujian pengesahan RT-PCR adalah positif,” jelasnya lagi.

Pada masa sama JKN Perak memaklumkan kes ke-50 yang melibatkan seorang wanita berusia 66 tahun turut tinggal di daerah Hilir Perak.

Katanya pesakit yang tidak bergejala itu mempunyai sejarah kontak dengan satu kes COVID-19 dari Kluster Simera di Selangor semasa di perhimpunan keluarga pada 4 Oktober.

“Pada 12 Oktober, beliau menjalani saringan kontak COVID-19. Pada 14 Oktober, keputusan ujian pengesahan RT-PCR adalah positif,” jelasnya.

Sementara itu, ujarnya lagi bagi kes ke-51 dan ke-52 ia membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 22 dan 23 tahun serta menetap di Hulu Perak.

“Antara 1 hingga 3 Oktober, kes ada sejarah kontak dengan satu kes COVID-19 semasa menghadiri satu mesyuarat.

“Pesakit tidak bergejala. Pada 12 Oktober, beliau menjalani saringan kontak COVID-19. Pada 14 Oktober, keputusan ujian pengesahan RT-PCR adalah positif,” jelas JKN Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");