Perak Hari Ini

COVID-19: Serah Pada SPR Berkenaan Cadangan Larang Aktiviti Kempen Lapangan – Ahmad Faizal

GOPENG: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan cadangan untuk tidak membenarkan kempen di lapangan bagi mana-mana pilihanraya yang akan berlangsung ketika ini.

Katanya beliau yakin SPR akan merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan rakyat masih diutamakan ketika negara masih diancam penularan COVID-19

“Biar SPR yang menentukannya dan saya yakin sebarang keputusan yang hendak dibuat, SPR akan mengambil kira semua perkara.

“Tentunya keselamatan rakyat akan menjadi yang utama selain saya yakin SPR turut akan mendapatkan pandangan daripada KKM berkenaan hal itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Pemprosesan Dan Pengumpulan Nanas Gopeng Pineapple (Gopine) oleh Syarikat Gopeng Berhad di RTC Gopeng, hari ini.

Terdahulu sebuah akhbar melaporkan saranan beberapa ahli akademik supaya SPR tidak membenarkan kempen di lapangan bagi mana-mana pilihan raya yang akan berlangsung ketika negara berdepan ancaman COVID-19.

Mereka mencadangkan agar kempen pilihan raya boleh dibuat menerusi platform maya seperti di media sosial atau media arus perdana.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata pada pilihanraya yang akan datang pastinya semua pihak akan memperhebatkan lagi kaedah berkempen secara atas talian.

Namun ujarnya sekiranya kempen secara bersemuka seperti dalam kempen siri-siri pilihanraya sebelum ini dibenarkan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan rantaian COVID-19 harus dipatuhi.

“SOP oleh KKM di negara kita amat ketat berbanding SOP kesihatan di negara lain dan ini menunjukkan Malaysia serius dalam menangani penularan COVID-19.

“Sekiranya aktiviti seperti kempen di lapangan ini dibenarkan ataupun menjalankan aktiviti ekonomi, ia boleh diteruskan asalkan kita terus mematuhi SOP,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");