Perak Hari Ini

COVID-19 Tak Pilih Sesiapa Termasuk Ahli Politik – MB Perak

IPOH: Walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, rakyat diingatkan untuk tidak panik dan cuba menuding jari terhadap mana-mana pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebaliknya virus tersebut mampu menjangkiti sesiapa tanpa mengira latar belakang seseorang.

“Saya harap dalam keadaan terkini rakyat tidak panik, sebagaimana yang saya lihat di media sosial yang mana ada yang marahkan orang politik.

“Virus ini tidak pilih sesiapa, sama ada orang itu Presiden Amerika atau pun orang biasa. Jadi hal ini bukan masalah dari segolongan orang itu atau segolongan ini. Ia boleh menjangkiti sesiapa pun,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan agar rakyat dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19 seperti kerap mencuci tangan dan menjaga kebersihan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Hotel [email protected] di sini, pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata dalam situasi terkini kes COVID-19, kerajaan negeri akan terus mengguna pakai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tanpa sebarang perubahan.

Namun katanya kerajaan negeri akan melihat keperluan sama ada akan mengetatkan beberapa aktiviti berdasarkan perkembangan semasa.

“Pandangan daripada agensi-agensi yang mana peningkatan kes COVID-19 ini berlaku di sesetengah tempat seperti di penjara dan sebagainya serta ia tidak merebak melalui program, himpunan atau kenduri. Ia bermakna wabak itu tersebar di kawasan yang ‘enclose’.

“Oleh itu di negeri Perak saya melihat semua perkara yang telah ditetapkan melalui SOP PKPP ini kekal buat masa sekarang.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau jika ada keperluan untuk kita memperketat aktiviti perniagaan ataupun sosial seperti himpunan dan sebagainya,” jelas beliau.

Minggu lalu Melaka mengumumkan penangguhan semua program kerajaan negeri berikutan terdapat kes positif COVID-19 di negeri itu.

Untuk rekod, semalam Perak mencatatkan dua kes baharu COVID-19 disyaki punca jangkitan dari luar dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes di Perak sebanyak 278.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");