Perak Hari Ini

COVID-19: Tiada Produk Pelancongan Ditutup Di Perak

BATU GAJAH – Walaupun jumlah kes positif COVID-19 dalam negara menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini namun tiada produk pelancongan di Perak yang terjejas dan ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata kecuali Taman Tema Lost World Of Tambun yang mana pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk menutup sementara bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan mendalam susulan seorang pengunjung disyaki positif COVID-19.

“Setakat ini hanya Lost World Of Tambun yang mengumumkan penutupan 14 hari tetapi itu bukan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaliknya ia merupakan keputusan daripada pengurusan.

“Penutupan taman tema dan hotel di situ dilakukan bagi tujuan sanitasi demi keselamatan para pekerja mereka dan seterusnya dapat menjamin keyakinan semua pihak apabila ia dibuka semula.

“Namun setakat ini kita tidak menerima apa-apa maklumat berkenaan penutupan premis atau produk pelancongan di Perak,” katanya.

Justeru ujarnya para pelancong diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Kita memang menjangkakan bahawa penularan wabak itu akan memberi kesan kepada industri pelancongan.

“Namun kita harus terus memainkan peranan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengelakkan ‘3C’ iaitu tempat sesak, tempat tertutup, dan bercakap jarak dekat.

“Kita masih lagi boleh melakukan aktiviti pelancongan dalam keadaan terkawal dan berwaspada sentiasa,” jelas beliau.

Terdahulu Nolee merasmikan Majlis Pelancaran Geotourism Vouchers #TravelPerakLah dan Dark Tourism di Kellie’s Castle di sini, malam tadi.

Bertitik tolak dari sambutan menggalakkan Travel Vouchers #TravelPerakLah siri pertama, baucar pelancongan itu kembali dengan siri kedua yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Geopark Lembah Kinta kali kedua tahun ini.

Jelas Nolee pada kali ini sebanyak 1050 baucar yang ditawarkan serta meliputi industri seperti penginapan, bas ‘hop-on-hop-off’, serta syarikat pengembaraan dan pelancongan.

“Melalui baucar ini pelancong akan menikmati diskaun sebanyak RM150 untuk digunakan pengunjung sekiranya mereka mengambil pakej-pakej yang ditawarkan di bawah produk Geopark. Inisiatif ini akan berlangsung bermula Oktober sehingga Disember,” jelas beliau.

Difahamkan baucar tersebut boleh didapati di semua agensi pelancongan terpilih dengan kadar minimum pembelian pakej bernilai RM299 seorang atau pakej tiga hari dua malam di Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");