Berita Hari Ini
Like

Empat Lelaki Mengaku Tidak Salah Halang Polis Di Tol Slim River

October 26, 2020
224 Views
0 Comments
2 minutes read
Empat Lelaki Mengaku Tidak Salah Halang Polis Di Tol Slim River

TANJUNG MALIM – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas berhampiran Plaza Tol Slim River, pada 16 Oktober lepas.

Tertuduh P. Panneerselvan, 32, S. Vijandran, 41, A. Sivakumar, 28, dan R. Durai Raaj, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Pada prosiding 20 Oktober lepas, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu dan mahkamah menetapkan hari ini untuk memanggil jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis iaitu Koperal Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya, dengan tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dari lokasi kejadian, serta gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian.

Panneerselvan, Sivakumar serta Durai Raaj yang merupakan pekerja trak tunda dan Vijandran yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River-Tanjung Malim pada 3.30 pagi, 16 Oktober lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Durai Raaj turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menolak badan dan membuka zip ves polis Muhd Syahrul, di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Durai Raaj didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 November untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. – Bernama

Comments are closed.