Berita Hari Ini

Firma digesa beralih ke sistem kerja dari rumah susulan kes Covid-19 naik

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa para majikan meminta pekerja mula bekerja dari rumah berikutan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.

“Perniagaan mempunyai peranan penting dalam memerangi Covid-19,” kata presidennya Dr Subramaniam Muniandy. “Meminta kakitangan bekerja dari rumah akan membantu mengurangkan bilangan orang di bandar” dan dengan itu mengurangkan risiko penyebaran virus.

“Kerajaan perlu menyokong dasar bekerja dari rumah, yang boleh dilihat sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).”

Beliau memberitahu FMT, dasar kerja dari rumah mampu “mengurangkan secara signifikan” risiko penyebaran Covid-19 dan akan membantu mengelakkan gangguan kepada aktiviti ekonomi berikutan langkah kawalan, seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac dan April.

Sepanjang tempoh PKP, perniagaan yang memerlukan interaksi fizikal, seperti di sektor perkhidmatan, terjejas teruk, dengan banyak kerugian besar dilaporkan.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata pekerja perlu digalakkan bekerja dari rumah secara bergilir-gilir sekiranya pekerjaan mereka boleh dibuat dari jarak jauh dan jika penjarakan fizikal tidak boleh dilakukan di tempat kerja.

“Dasar bekerja dari rumah bergantung pada keperluan syarikat,” katanya kepada FMT.

Katanya, lebih baik syarikat mengambil langkah berjaga-jaga daripada menanggung kos yang tinggi untuk mengurus tempat kerja yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau, bagaiamapun, berkata banyak bos ragu-ragu untuk melaksanakan dasar itu atas alasan keselamatan, memberi contoh hal pertukaran maklumat sulit syarikat.

“Di pejabat, syarikat memasang pelbagai ‘firewall’ sebagai langkah keselamatan, tetapi untuk komputer peribadi di rumah, ia kurang selamat.”

Naib Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Nathan K Suppiah, berkata ada beberapa syarikat yang mungkin tidak mampu mengubah keseluruhan operasi ke model kerja dari rumah.

Namun, katanya, tidak mustahil bagi mereka untuk menukar operasi seperti penjualan, pemasaran, kewangan, akaun, dan sumber manusia kepada jarak jauh.

Katanya, mungkin ada prosedur kerja dari rumah secara berperingkat bagi kumpulan pekerja, terutama mereka yang bukan berada di bahagian pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau berkata bekerja dari rumah tidak akan berkesan untuk operasi pembuatan intensif buruh yang tidak automasi sepenuhnya.

Walaupun beberapa proses itu boleh dibuat dengan menggunakan alat digital, tambahnya, mereka memerlukan waktu dan wang di mana tidak semua syarikat mampu berbuat demikian.

“Bagaimanapun, kita percaya tahap kesiapsiagaan mungkin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana perniagaan sudah menyediakan rancangan kesinambungan sekiranya keadaan memaksa beroperasi dalam keadaan seperti PKP,” katanya.

“Kita percaya perniagaan menyediakan model kerja dari rumah yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");