Panasnya Hari Ini
Like

Gagal Tangani Covid-19, Pemuda PKR Sabah Minta Muhyiddin Letak Jawatan

October 18, 2020
235 Views
0 Comments
2 minutes read
Gagal Tangani Covid-19, Pemuda PKR Sabah Minta Muhyiddin Letak Jawatan

KOTA KINABALU: Ketua penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana gagal menangani penularan wabak Covid-19 yang dlihat semakin teruk.

Katanya, Muhyiddin tidak mempunyai inisiatif atau pelan yang ampuh bagi mengekang penularan wabak itu, selain hanya mampu membuat perutusan yang tidak memberi kelebihan kepada rakyat.

”Dalam bulan ini saja, sebanyak 8,403 kes positif dilaporkan dan jumlah ini sama dengan jumlah 6 bulan pertama sejak wabak ini melanda.

”Negeri paling teruk terjejas sudah tentunya negeri Sabah yang dalam tempoh 17 hari ini, sebanyak 4,860 kes baru dicatatkan atau 58% daripada jumlah kes di Malaysia, selain mencatat 40 kematian setakat ini.

”Walaupun dinafikan, namun hakikatnya lonjakkan kes ini berpunca daripada pilihan raya negeri (PRN) dan kebanyakan kluster baru wujud sejak September lalu.

“Walaupun diberi pelbagai nama, namun semuanya berpunca daripada PRN,” katanya dalam kenyataan semalam.

Razeef berkata, PRN Sabah diadakan selepas cubaan rampasan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin sebagai pelaksananya memetik laporan FMT.

”Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekang penularan Covid-19, Muhyiddin sibuk menggulingkan kerajaan sehingga berlaku lonjakan kes berpanjangan hingga ke hari ini.

”Selain itu, ketika kerajaan Sabah berusaha mengekang penularan wabak sama di negeri ini, PN menerusi Hamzah sibuk ulang-alik untuk menarik Adun dari Sabah bagi tujuan menggulingkan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan Plus,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak perlukan menteri yang sibuk merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan dalam keadaan negara sedang berdepan ancaman Covid-19.

”Sekali lagi saya menggesa perdana menteri dan menteri dalam negeri untuk mengambil tanggungjawab penuh seperti anak jantan dengan melepaskan jawatan atas kegagalan mereka serta kegilaan untuk mengguling kerajaan ketika negara berdepan wabak Covid-19.

”Malaysia memerlukan seorang perdana menteri yang boleh memimpin, bukan seorang ‘abah’ yang hanya tahu membuat perutusan khas,” katanya.

Comments are closed.