Berita Hari Ini
Like

Gantung Parlimen tanpa alasan munasabah boleh dicabar di mahkamah, kata bekas hakim

October 15, 2020
253 Views
0 Comments
2 minutes read
Gantung Parlimen tanpa alasan munasabah boleh dicabar di mahkamah, kata bekas hakim

Sebarang nasihat daripada perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen tanpa alasan munasabah boleh dicabar di mahkamah.

Bekas hakim Gopal Sri Ram berkata, hujah sama turut dibangkitkan dalam keputusan kes Miller lawan Boris Johnson (perdana menteri Britain), yang mana mahkamah mengetepikan nasihat kepada permaisuri untuk menggantung Parlimen.

“Di sini, kita mempunyai perlembagaan bertulis dan kedudukan kita lebih kukuh daripada England dalam perkara itu,” kata Sri Ram.

Di UK, katanya, Parlimen adalah paling agung kerana ia tidak mempunyai perlembagaan bertulis seperti Malaysia.

Beliau berkata, Majlis Privy memutuskan pengisytiharan darurat adalah tidak baik.Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, ia diiktiraf dalam kes Teh Cheng Poh lawan Pendakwa Raya pada 1979, yang Majlis Privy memutuskan bahawa nasihat Kabinet untuk mengumumkan darurat boleh dicabar.

“Perdana menteri atau Kabinetnya hanya boleh menasihati Agong menggantung Parlimen atas alasan munasabah,” kata Sri Ram, dengan memberi contoh 1/3 ahli Parlimen sakit disebabkan Covid-19.

Selanjutnya, beliau berkata, tiada bukti perubatan menunjukkan penggantungan akan membantu negara pulih daripada pandemik itu.

“Tiada negara dalam Komanwel atau Amerika Syarikat yang mempunyai perlembagaan bertulis menggantung Parlimen mereka untuk memerangi pandemik,” katanya.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara SA Vigneswaran, Parlimen harus digantung untuk membolehkan kerajaan memerangi Covid-19.

Dalam kenyataan, Vigneswaran berkata ia akan membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi dan mewujudkan kestabilan politik.

Beliau turut berkata Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh menggantung atau membubarkan Parlimen” dan menambah penggantunggan Parlimen adalah “cara paling selamat untuk mengekalkan ketenteraman awam, kelangsungan ekonomi dan kestabilan politik”.

Sementara itu, peguam Bastian Pius Vendargon berkata, cadangan Vigneswaran untuk menggantung Parlimen adalah khayalan.

Beliau berkata, Vigneswaran silap dalam memahami Perkara 55 dan Aturan Tetap secara literal.

“Perlembagaan sepatutnya difahami secara meluas, liberal dan kaedah bermakna yang selaras dengan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Vendargon mempersoalkan kenapa Parlimen tidak boleh bersidang ketika aktiviti ekonomi atau majlis perkahwinan sehingga 250 orang dibenarkan.

Comments are closed.