Perak Hari Ini
Like

Hampir 3,000 Individu Diberhentikan Kerja Di Perak – Exco

October 27, 2020
243 Views
0 Comments
2 minutes read
Hampir 3,000 Individu Diberhentikan Kerja Di Perak – Exco

IPOH – Dianggarakan hampir 3,000 atau 2,975 individu di Perak yang diberhentikan kerja sehingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata daripada jumlah tersebut ia membabitkan seramai 1,693 pekerja lelaki serta 1,282 wanita.

“Senario ini membabitkan beberapa sektor iaitu sektor perkilangan dengan 683 kes pemberhentian, sektor perhotelan dan penyediaan makanan (590 kes), sektor pemborongan dan peruncitan (522 kes) serta lain-lain sektor (1,180 kes),” katanya.

Justeru katanya kerajaan telah menjalankan beberapa inisiatif bagi membantu mereka yang terkesan akibat pemberhentian kerja tersebut.

Antaranya Portal pekerjaan MYFutureJobs, Program Perkhidmatan Pekerjaan, Faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP), serta Insentif Penjana Kerjaya.

“Di peringkat kerajaan negeri, antara inisiatif dan langkah yang dilaksanakan Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa 2 adalah Program Transformasi Pekerjaan (Work-Pro) dengan sasaran seramai 1,500 peserta bermula Jun sehingga Disember ini.

“Sehingga kini, seramai 402 orang peserta telah menjalani latihan untuk fasa pertama bermula Jun sehingga September ini, melibatkan 15 jenis kursus jangka pendek yang dipecahkan kepada tiga kategori.

“Kategori-kategori tersebut adalah Latihan Peralihan Tenaga Kerja; Latihan Pengekalan Tenaga Kerja dan Latihan Peningkatan Kemahiran,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Dr Abdul Aziz Bari (DAP- Tebing Tinggi) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Selain itu Razman berkata di bawah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima dalam tempoh Jun sehingga September.

Jelasnya ia membabitkan sektor pembuatan dengan 770 kekosongan, automotif (881), perkhidmatan (122) serta sektor-sektor lain (474) yang meliputi peruncitan, industri makanan dan perladangan.

“Sehingga ke kini, sebanyak 277 pencari kerja yang telah berjaya di senarai pendek oleh industri.

“Sementara itu masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak,” katanya.

Comments are closed.