Berita Hari Ini

Ingkar Arahan Kuarantin: Bekas Kontraktor Dipenjara, Denda RM1,000

MELAKA – Tindakan seorang bekas kontraktor tidak mengkuarantinkan diri seperti diarahkan Kementerian Kesihatan dengan keluar bekerja dan membeli barangan, membawa padah apabila dihukum penjara 14 hari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Bernama melaporkan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Syafrizan Salleh, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan lelaki yang berasal dari Papar, Sabah dan mempunyai dua anak itu menjalani hukuman penjara tujuh hari, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

“Seharusnya kamu bertanggungjawab dan faham perlu mengkuarantinkan diri kerana kamu dari tempat berisiko tinggi pulang ke Semenanjung, untuk memastikan betul-betul sihat dan tidak menjangkiti orang lain, kerana jika kamu positif, ia akan memberi impak terhadap nyawa dan keselamatan orang lain,” kata Muhammad Nazrin.

Md Syafrizan didakwa tidak mematuhi perintah dikenakan kuarantin kendiri oleh Kementerian Kesihatan dengan menghadirkan diri untuk bekerja di Bangunan Pentadbiran Persiaran Penapisan Sungai Udang, di sini pada 29 Sept lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob, manakala Md Syafrizan diwakili peguam pelatih.

Sementara itu, Nora ketika ditemui di luar mahkamah berkata tertuduh pulang ke Kota Kinabalu pada 26 Sept lepas bagi tujuan mengundi dan apabila kembali ke Semenanjung, dia diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari bermula 28 Sept sehingga 11 Okt dan dipakaikan gelang merah jambu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, tertuduh telah keluar dari tempat kuarantin untuk pergi bekerja dan membeli barangan keperluan harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");