Panasnya Hari Ini

Jamal Yunos Mohon Tangguh Bicara Kes Saman Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Bernama melaporkan Peguam Nur Syafeeqah Nor Hisham yang mewakili Jamal berkata permohonan penangguhan berkenaan difailkan anak guamnya pada 16 Sept lepas sementara menunggu rayuan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Nur Syafeeqah berkata pada 4 Sept lepas, anak guamnya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Ogos yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman tersebut.

“Bagaimanapun, masih belum ada tarikh ditetapkan berhubung rayuan itu. Mahkamah sebelum ini telah menetapkan empat hari bermula 9 Nov depan untuk perbicaraan kes saman itu,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff hari ini.

Nur Syafeeqah juga berkata peguam yang mewakili Yeo akan membantah permohonan terbabit.

Nur Syafeeqah berkata mahkamah menetapkan 30 Okt ini untuk mendengar permohonan penangguhan prosiding berkenaan. Yeo diwakili peguam Kenny Lee Jun How.

Pada 14 Jun, 2017, Yeo selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yeo yang merupakan Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac, 2017, dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan Jamal, antara lain memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Yeo juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");