Perak Hari Ini

JAS Perak Keluarkan Kompaun Bernilai RM2 Juta

IPOH – Sejumlah 1,001 kompaun membabitkan nilai RM2 juta dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak terhadap premis yang dikesan melakukan kesalahan pencemaran dalam empat siri operasi bermula Mac sehingga September tahun ini.

Pada Operasi Gempur pada Mac lalu, JAS Perak telah mengeluarkan 102 kompaun membabitkan nilai RM204,000 sementara Operasi Gempur pada Julai 188 kompaun (RM386,000) telah dikeluarkan.

Selain itu dalam Operasi Gempur Zon Utara, JAS Perak telah mengeluarkan 305 kompaun (RM610,000) dan pada bulan ini sebanyak 406 kompaun dikeluarkan berjumlah RM812,000.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata trend peningkatan bilangan kompaun yang dikeluarkan memberi petanda bahawa kadar kepatuhan sebahagian besar pihak industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan yang berkaitan masih lemah.

Justeru beliau berkata JAS Perak akan menggembleng tenaga bagi memastikan kadar kepatuhan dapat dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian pencemaran seperti di Sungai Kim Kim di Johor dan Sungai Gong di Selangor berlaku di negeri ini.

Mengulas tentang operasi terbaharu iaitu Operasi Gempur Barat yang dijalankan selama empat hari bermula 28 September lalu, sebanyak 76 premis telah diperiksa di Taiping dan Teluk Intan.

Katanya daripada kesemua premis yang diperiksa, sebanyak 42 peratus didapati gagal mematuhi AKAS 1974 sementara 72 arahan lapangan dan 91 notis amaran telah dikeluarkan JAS negeri.

“Satu arahan pergantungan lesen dikeluarkan terhadap sebuah milang memproses tandan sawit segar di Taiping.

“Pada masa sama, dalam operasi di dua daerah berkenaan, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka membabitkan kesalahan melepaskan sisa buangan ke sungai, pengurusan buangan terjadual serta pelepasan benda asing ke udara,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam operasi sama JAS Perak turut menyita peralatan di tiga buah kilang di Teluk Intan kerana menghasilkan pencemar alam sekitar.

Jelasnya kilang yang terlibat ialah sebuah kilang pengeluaran bahan getah, sebuah kilang memproses logam serta kilang berasaskan makanan.

“Dalam operasi tersebut kita mendapati ada empat premis berdaftar dengan JAS yang tidak lagi menjalankan operasi dan kita mengeluarkan notis terhadap premis-premis itu berkaitan pengurusan sisa buangan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup Operasi Gempur Barat di Pejabat JAS Perak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rosli berkata seramai 31 pegawai membabitkan 10 pasukan dari pejabat cawangan JAS di Teluk Intan, Taiping serta dibantu dari cawangan di Ipoh terbabit dalam operasi berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");