Panasnya Hari Ini

Jawatan TPM diisi wakil UMNO boleh redakan kemelut politik

Cadangan mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan memberikan kuota itu kepada UMNO, dijangka dapat meredakan polemik politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik berpendapat, langkah itu boleh diteruskan kerana konsep Menteri Kanan seperti sekarang tidak menggambarkan perkongsian kuasa yang jitu kerana jawatan itu didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).https://tpc.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata meskipun jawatan TPM tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia penting kerana secara tradisi, Perdana Menteri (PM) dibantu oleh seorang timbalan dalam memimpin kerajaan dan negara.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata jawatan TPM juga adalah bukti lebih jelas mengenai perkongsian kuasa.

“Jika jawatan itu diberikan kepada UMNO, ia bukan suatu yang janggal kerana UMNO memiliki kerusi Parlimen paling banyak (dalam kerajaan PN).

“Konsep Menteri Kanan tidak menggambarkan perkongsian kuasa yang jitu, juga boleh menimbulkan beberapa isu, antaranya persaingan dan pergeseran. Jika jawatan TPM boleh redakan kekusutan politik dan atas semangat perkongsian kuasa, ia boleh dilakukan,” katanya.

Beliau mengulas laporan BH semalam mengenai kemungkinan jawatan TPM diwujudkan semula untuk diisi pemimpin mewakili UMNO dalam rombakan kecil Kabinet yang dikatakan akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BH difahamkan, antara nama yang diuar-uarkan bakal mengisi jawatan TPM adalah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO ketika ini.

Difahamkan juga, rombakan Kabinet dijangka membabitkan pertukaran kecil portfolio kementerian penting, dengan sebahagiannya akan diberi kepada UMNO.

Antara kementerian penting adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Ketiga-tiga portfolio berkenaan ketika ini diisi wakil BERSATU.

Mohd Izani berkata, banyak jawatan menteri di kementerian yang strategik dalam pentadbiran sekarang tidak dikuasai UMNO dan itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli parti terbabit.

“Banyak kementerian yang menguruskan hal akar umbi rakyat diberikan kepada BERSATU. Mungkin dengan adanya rombakan Kabinet, boleh wujud konsep menang-menang dan secara tidak langsung boleh elak kerajaan jatuh serta Pilihan Raya Umum ke-15 lebih awal.

“Adalah lebih baik kita memilih kemudaratan yang kecil daripada kemudaratan yang besar (berubah kerajaan),” katanya sambil mengakui bukan mudah menerima perubahan kerajaan secara mendadak kerana ia memberi banyak implikasi.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berpendapat jawatan TPM tidak akan memberi apa-apa impak kepada kerajaan PN.

“Rakyat faham, pentadbiran sekarang ada empat Menteri Kanan dan sudah tentu salah seorang boleh jadi TPM. Pada saya, jika ada jawatan TPM, kerajaan akan lagi terurus dan teratur, terutama pentadbiran Kabinet kerana mempunyai jurucakap kedua selepas PM.

“Saya rasa rakyat Malaysia faham proses konsensus ini. PN tidak boleh berdiri sendirian, ia perlukan kerjasama. Persoalannya siapa yang akan bekerjasama dengan PN,” katanya.

Beliau berkata, genjatan politik yang disarankan pelbagai pihak sebelum ini juga tidak perlu sekiranya wujud kesepakatan dalam kalangan parti-parti utama yang membentuk kerajaan PN.

“Saya rasa biar (kerajaan) kekal dan fokus sekarang adalah COVID-19. Jangan bahayakan kesihatan awam kerana taksub dengan politik,” katanya sambil menambah, rombakan Kabinet mungkin dilakukan jika ada persetujuan antara parti dalam kerajaan PN.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");