Berita Hari Ini

Keputusan spekulasi darurat hari ini

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berunding dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dicapai pada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, cadangan-cadangan tersebut dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu sesi menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan petang kelmarin.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk me­merangi ancaman wabak Co­vid-19, malah Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan ke­gusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

AL-SULTAN ABDULLAH akan bertemu dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan mengenai cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri.

Difahamkan, mesyuarat khas melibatkan kesemua Raja-Raja Melayu itu dijadual diadakan hari ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan berhubung kemungkinan pengumuman darurat seperti yang dicadangkan jemaah menteri.

Sebelum itu, khabar angin bertiup kencang bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat politik bagi menangani ketidaktentuan dan perbalahan politik yang melanda negara ketika ini.

Perkara itu dikatakan telah diputuskan dalam mesyuarat khas di Bangunan Perdana Putra di sini pagi kelmarin yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Antara yang hadir dalam mesyuarat tersebut termasuklah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Selain itu, beberapa menteri lain yang hadir ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut kelihatan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Katanya, seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara lapor Kosmo Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");