Berita Hari Ini
Like

Kerajaan Perlu Pertimbang Wujudkan Undang-undang Anti Lompat Parti

October 31, 2020
167 Views
0 Comments
2 minutes read
Kerajaan Perlu Pertimbang Wujudkan Undang-undang Anti Lompat Parti

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia sekali lagi menggesa kerajaan agar mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan datang bagi menghalang ahli parlimen daripada beralih parti.

Presidennya Salim Bashir berkata ini kerana Malaysia telah berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Majlis Peguam berpandangan bahawa tidak ada sekatan bagi Parlimen untuk menggubal undang-undang anti lompat parti di peringkat persekutuan meskipun bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & satu lagi menentang Nordin bin Salleh & satu lagi. Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.

“Namun turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.

“Kami berpendapat bahawa beralih parti selepas diundi rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita,” menurutnya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Beliau berkata undang-undang anti lompat parti adalah mustahak untuk memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokratik selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Justeru itu, tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen seharusnya dijadikan sebagai satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti perlembagaan, katanya.

Comments are closed.