Berita Hari Ini

Kerajaan umum awal PKPD untuk polis, tentera buat persiapan

Tiga lagi lokaliti di Kudat, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam esok hingga 12 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu melibatkan Kampung Pengarabang, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang.

Tiga kawasan itu, katanya, merangkumi 2,393 unit rumah dengan 13,884 penduduk.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan dari kerajaan Sabah mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di tiga kampung berkenaan di Kudat.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas bersetuju untuk melaksanakan PKPD dengan SOP seperti kawasan lain yang kena PKPD, iaitu tidak boleh keluar masuk rumah atau kawasan.

“Semua aktiviti ekonomi, keagamaan dan sosial tidak dibenarkan, kecuali kedai runcit boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 dan PKP, hari ini.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan yang bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober ini disambung dua minggu lagi sehingga 13 November ini.

Katanya, KKM masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk di wilayah itu dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 yang dikesan.

Menjawab pertanyaan media berhubung tindakan kerajaan mengumum lebih awal untuk melaksanakan PKPD atau PKPB di suatu kawasan, Ismail Sabri berkata, pengumuman itu bukan memberi peluang kepada penduduk dalam lokaliti berkenaan melarikan diri.

Sebaliknya, kata beliau, ia sebagai persediaan kepada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi terlibat membuat persiapan.

“Biasanya kita umumkan dua hari sebelum pelaksanaan. Ini bagi memberi peluang kepada polis mengenal pasti kawasan utama dan lorong tikus untuk buat sekatan jalan raya.

“Juga beri peluang kepada anggota tentera mengenal pasti laluan utama untuk dipasangkan kawat berduri bagi memastikan penduduk tidak dapat keluar atau masuk ke kawasan yang diisytiharkan PKPD,” katanya.

Kata beliau, jika ada penduduk di kawasan itu melarikan diri lebih awal dari PKPD dikuatkuasakan, mereka pasti akan pulang juga atau polis akan mengesan tempat ‘persembunyian’ mereka.

“Perlu ingat, bagi pendatang asing tanpa izin, jika mereka ditangkap polis, mereka bukan dibawa pulang ke rumah dalam kawasan PKPD, tetapi ditahan di balai untuk siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");