Berita Hari Ini

Kesan Jangka Panjang COVID-19 Membimbangkan – WHO

GENEVA: Pesakit COVID-19 yang dilaporkan mengalami gejala jangka panjang, termasuk kerosakan terhadap organ penting perlu diberikan penjagaan bersesuaian.

BH Online yang memetik Agensi melaporkan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata seluruh dunia masih cuba memahami virus berkenaan yang ternyata bukan sekadar boleh membawa maut, sebaliknya mencetuskan kesan jangka panjang terhadap segelintir individu.

“Oleh itu, kerajaan perlu memperakui risiko kemungkinan kesan jangka panjang akibat COVID-19 dengan menyediakan penjagaan bersesuaian dan capaian khidmat kesihatan.

“Ia termasuk perkhidmatan kesihatan utama dan sekiranya perlu, penjagaan khusus dan pemulihan,” katanya pada sidang media secara maya, pada Jumaat.

Perkembangan semasa mengenai wabak itu kini dilihat bakal menjejaskan usaha mencapai imuniti kelompok yang digambarkan sebagai harapan utama dalam usaha membasmi COVID-19 secara keseluruhan.

Tedros sebaliknya berkata perubahan bentuk gejala yang tercetus daripada wabak COVID-19 sehingga kini mengundang keresahan pelbagai pihak.

Katanya, gejala yang direkodkan setakat ini merangkumi kelesuan, batuk, sesak nafas, radang dan kecederaan terhadap organ utama tubuh badan.

“Organ yang dimaksudkan termasuk paru-paru dan jantung, selain kesan neurologikal dan fisiologikal. Gejala ini lazimnya berlaku pada waktu sama serta mampu menjejaskan mana-mana sistem badan,” katanya.

Tiga pesakit, iaitu seorang pakar epidemiologi, jururawat dan jurutera perisian berumur 26 tahun sebelum ini berkongsi pengalaman masing-masing apabila dijangkiti COVID-19 serta mengalami kesan jangka panjang.

Pakar epidemiologi dari Institut Perubatan Tropika Liverpool, England, Prof Paul Garner, pada mulanya dilaporkan sihat dan cergas, sebelum tiba-tiba dijangkiti wabak berkenaan pada Mac lalu.

Selama empat bulan, beliau ‘bertarung’ dengan siri gejala berikutan COVID-19 seperti kelesuan, sakit kepala, gangguan emosi dan pelbagai perubahan lain.

Tiga bulan kemudian, pakar epidemiologi berkenaan mengalami kelesuan yang amat teruk sehingga menjejaskan urusan hariannya.

“Apabila saya terlalu aktif, sakit itu akan kembali dan ia langsung tidak boleh dijangka. Saya langsung tidak sangka bahawa selama tujuh bulan, kehidupan saya terjejas angkara virus ini.

“Kini ia lenyap begitu saja,” katanya yang dilaporkan pulih daripada COVID-19, sejak dua minggu lalu.

Mengulas perkongsian berkenaan, Tedros berkata kerajaan wajar memberikan penekanan terhadap kes sedemikian, dengan menyediakan rawatan atau penjagaan untuk jangka panjang sehingga pesakit pulih sepenuhnya.

“Ini juga memberi kesedaran mengenai harapan untuk kita mencapai imuniti kelompok yang kini mustahil untuk dijayakan, malah ia akan mengundang jutaan lagi kematian dan mencetuskan kesan jangka panjang terhadap golongan tertentu.

“Satu saja harapan kita sekarang untuk mencapai imuniti kelompok ialah vaksin COVID-19 yang perlu diedarkan di seluruh dunia secara saksama.

“Sebelum kita ada vaksin, kerajaan dan rakyat perlu saling bekerjasama untuk melandaikan lengkuk rantaian penularan yang dikenal pasti sebagai jalan terbaik bagi mengekang sebarang kesan jangka panjang daripada wabak ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");