Berita Hari Ini

Lagi MP tampil kritik had organisasi media buat liputan parlimen

Semakin ramai ahli parlimen yang mengkritik keputusan pentadbir parlimen menetapkan hanya 15 organisasi media terpilih yang dibenarkan membuat liputan sesi persidangan parlimen yang akan berlangsung dari 2 Nov hingga 23 Dis.

Antaranya merupakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin yang menggesa supaya had jumlah organisasi media yang membuat liputan itu dilonggarkan.

Syed Saddiq berkata, meskipun orang ramai faham negara sedang menangani penularan pandemik Covid-19, tetapi dia mencadangkan supaya syarat-syarat itu dilonggarkan dan menetapkan prosedur tertentu terhadap organisasi media seperti menjalani ujian kesihatan.

“Hanya 15 organisasi media yang diberi kebenaran untuk membuat liputan. Ini jumlah yang kecil berbanding dengan jumlah sebenar organisasi media di dalam negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, sikap memilih-milih dalam memberi kebenaran liputan Dewan Rakyat tidak sepatutnya berlaku, terutamanya apabila pembentangan Belanjawan 2021 akan diadakan dalam persidangan kali ini.

Untuk rekod, Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 Nov.

“Bagi saya ini tidak munasabah. Media seperi BFM, The Edge, Malaysiakini, Malaysian Insight, Malay Mail dan FMT perlu juga diberi kebenaran membuat liputan bebas di dalam Dewan Rakyat.

“Kebebasan media untuk membuat liputan ini adalah untuk rakyat juga. Kita semua berhak mendapatkan maklumat dan berita terkini secara terbuka, telus dan tanpa ada sebarang sekatan.

“Lebih-lebih lagi Dewan Rakyat adalah pilihan rakyat. Berita, ulasan dan siaran di dalam Dewan Rakyat wajar dan wajib untuk disiarkan oleh mana-mana organisasi media kepada rakyat tanpa ada sebarang sekatan,” katanya.

Begitu juga dengan Maria, katanya peranan media dalam membuat liputan di Parlimen bukan hanya terhad kepada perbahasan tetapi juga menemubual menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen.

Oleh itu, menurutnya, tugas-tugas sedemikian tidak dapat dijalankan dengan sempurna tanpa kehadiran media

“Kita mesti selalu diingatkan bahawa kebebasan media menyumbang kepada hak kebebasan bersuara, berfikir dan mengukuhkan tanggungjawab dan tindakan kerajaan terhadap rakyatnya.

“Apa yang paling penting adalah Dewan Rakyat tidak boleh menjadi institusi dalam mengehadkan kebebasan media kerana ia merupakan salah satu benteng demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Tambahnya, parlimen sepatutnya boleh mencari alternatif lain dari segi pematuhan SOP untuk media membuat liputan berbanding membuat sekatan sebegini.

Kenyataan kedua-dua ahli parlimen pembangkang itu hadir selepas beberapa ahli parlimen lain seperti Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Palrimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil membuat gesaan yang sama.

Terdahulu, kumpulan pengamal media, Center for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut menyuarakan perkara sama berhubung sekatan tersebut.

Semalam, Pentadbir Parlimen Malaysia memutuskan bahawa hanya 15 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 2 November ini, atas alasan mengekang penularan Covid-19 dan memenuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semua organisasi media yang diluluskan hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar atau juruvideo.

Berdasarkan senarai tersebut, tiada portal media dalam talian dibenarkan membuat liputan, termasuk Malaysiakini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");