Perak Hari Ini

Lantikan Aznel Oleh MB Perak Bukan Bermotif Politik – Zainol

IPOH –  Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bukan bermotifkan politik.

Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebaliknya pelantikan tersebut bertujuan membantu kestabilan pentadbiran peringkat kerajaan negeri atas pengalaman beliau dua penggal sebagai wakil rakyat.

“Pengalaman itu sudah tentu boleh membantu Menteri Besar dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sebenarnya sesiapapun boleh dilantik, cuma kebetulan yang dilantik itu ADUN Barisan Nasional (BN) dan mungkin MenteriBbesar sendiri nampak beliau boleh beri sumbangan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu, pertikaian yang dinyatakan UMNO berhubung lantikan tersebut sebelum ini adalah sesuatu yang pelik dan tidak wajar.

Katanya, sebagai sebuah gabungan kerajaan,  pimpinan parti itu sepatutnya berbangga apabila ada individu dari parti dilantik untuk satu jawatan tinggi di peringkat kerajaan ini.

“Dalam hal ini sepatutnya ahli-ahli BERSATU yang patut marah kenapa tidak dilantik, tetapi perkara itu tidak berlaku, kami lebih ‘steady’. Terbalik pula di pihak sana yang membantah,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertikaikan tindakan Ahmad Faizal melantik Aznel yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik sebagai setiausaha politiknya.

Saarani mendakwa ia tidak dibincangkan dengan badan perhubungan parti negeri atas semangat setia kawan dan prinsip hormat menghormati.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, gencatan politik yang disambut baik semua pemimpin telah meredakan konflik hubungan antara kedua-dua parti apabila masing-masing kini memberi fokus kepada usaha membantu kebajikan rakyat menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan.

“Saya lihat perkara ini sudah selesai dan berlalu. Mesyuarat Exco minggu lalu pun berjalan seperti biasa walaupun ada kenyataan-kenyataan panas dikeluarkan pemimpin-pemimpin parti mengenai isu ini.

“Menteri Besar sendiri yang mempengerusikan mesyuarat dan Datuk Saarani juga ada hadir. Masing-masing sudah boleh terima bahawa yang lepas itu lepas, dan teruskan dengan episod baru,” katanya.

Terdahulu, Zainol Fadzi menyampaikan sumbangan kepada seorang bekas wartawan, Jaspal Singh, 49, yang menderita kencing manis kronik hingga kehilangan kaki kanan di kediamannya di Taman Suria di sini.

Jaspal yang menjalani pembedahan pada awal September lalu telah terlibat dalam bidang kewartawanan sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai wartawan New Straits Times (NST) selama 12 tahun dan Ketua Biro Malay Mail selama 18 bulan sebelum mengambil keputusan bersara pada 2016.

Turut disampaikan sumbangan daripada rakan media berjumlah RM4,100 melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");