Perak Hari Ini
Like

Lantikan Setiausaha Politik MB Perak Bukan Isu Besar – PAS

October 20, 2020
274 Views
0 Comments
1 minute read
Lantikan Setiausaha Politik MB Perak Bukan Isu Besar – PAS

IPOH- PAS Perak berpandangan perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim, sebagai Setiausaha Politik yang baharu kepada Menteri Besar Perak bukanlah sebagai satu isu yang besar.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata sebagai parti yang bersama-sama dalam kerajaan tersebut perkara sepatutnya tidak diperbesar-besarkan.

“Setiausaha Politik itu bertugas menjaga urusan kerajaan politik Menteri Besar dalam kerajaan yang kini Perikatan Nasional (PN) di Perak.

“Jadi sekiranya kalau ada ahli dalam parti saya yang dilantik jawatan itu, sepatutnya saya boleh lebih berbangga,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu Razman yang juga Exco Perak berharap agar dapat diadakan ‘gencatan politik’ tatkala penularan COVID-19 sedang melanda negeri dan negara.

“Nanti setiap kali ada orang lain naik, nanti akan ada usaha orang lain pula hendak jatuhkan. Sampai bila pun perkara ini tidak habis,” katanya.

Tegas beliau, sejak awal penubuhan kerajaan PN, PAS tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan UMNO mahupun BERSATU selain sentiasa mengadakan perbincangan terhadap satu-satu perkara.

“Yang kita nak sekarang adalah tunjuk kepada rakyat bahawa kita boleh duduk berbincang sebagai kerajaan tanpa perlu menghebah-hebahkannya.

“Bukannya duduk sebantal, duduk serumah tetapi masih tidak sefahaman,” katanya.

Terdahulu, UMNO Perak mempertikaikan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melantik Aznel sebagai Setiausaha Politiknya kerana ia tidak dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

Comments are closed.