Berita Hari Ini

Lelaki Tular Pukul Anggota Bomba, Pandu Secara Melulu Dijel 6 Bulan

KAJANG – Seorang lelaki yang tular menyerang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Bandar Tun Hussein Onn minggu lalu, dihukum penjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Di Mahkamah Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, tertuduh Kan Hong Kit ,33, dikenakan hukuman penjara satu bulan atas kesalahan memukul anggota bomba manakala di Mahkamah Majistret Syahrul Sazly Mohd. Sain tertuduh dipenjara lima bulan dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu.

Kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula hari ini yang mana tertuduh perlu menjalani tempoh hukuman penjara sebulan yang kemudian diikuti penjara lima bulan selain lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun.

Bagi pertuduhan memukul, Hong Kit yang merupakan pengurus acara itu didakwa dengan sengaja mengguna kekerasan jenayah bagi tujuan menghalang penjawat awam, Alfred Rudy Anak Tungku, daripada menjalankan kewajipannya sebagai anggota bomba, di tepi Jalan Suakasih Bandar Tun Hussein Onn, pukul 10.40 pagi 15 Oktober lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan memandu secara melulu, Hong Kit didakwa didakwa sebagai pemandu kenderaan Proton Persona telah memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu atau dengan kelajuan yang merbahaya kepada orang awam di Jalan Suadamai Bandar Tun Hussien Onn di sini pukul 10.26 pagi pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nik Azhar Nik Adib memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minima dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh selain merupakan kesalahan pertamanya.

“Tertuduh kesal dengan perbuatannya dan memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi, ” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin yang mewakili pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan sewajarnya terhadap tertuduh memandangkan kejadian berlaku ketika Perintah Kawalam Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dalam kes ini anggota bomba telah membantu memadam kebakaran kereta milik tertuduh bagi mengelakkannya meletup ditempat awam. Sepatutnya tetuduh tidak patut mencederakan anggota bomba yang telah membantunya, ” kata Muhammad Hairuliqram.

Selain itu Muhammad Hairuliqram turut memberitahu akibat kecuaian tertuduh yang memandu secara melulu telah menyebabkan dua kenderaan rosak teruk.

Khamis lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas menyerang seorang anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi selepas pihak JBPM tiba di lokasi kejadian dan di dalam proses memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan.

Kata Mohd. Zaid ketika proses pemadaman api sedang dilakukan, suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an telah menghampiri anggota bomba bertugas sambil mengaku sebagai pemilik kereta dan secara tiba-tiba meluru ke arah keretanya tersebut.

Pegawai bomba yang bertugas ketika itu kemudian telah memberikan arahan supaya suspek bertenang dan memberikan kerjasama pada pihak bomba, namun lelaki itu bertindak agresif dan menumbuk lengan kiri anggota bomba tersebut.-K!ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");