Berita Hari Ini
Like

Majlis Hari Lahir Disertai 30 Pondan Diserbu

October 28, 2020
247 Views
0 Comments
2 minutes read
Majlis Hari Lahir Disertai 30 Pondan  Diserbu

JITRA: Lagak mereka seperti wanita, namun hakikatnya mereka adalah lelaki.

Itu tindakan sekumpulan individu yang menyertai majlis sambutan hari jadi yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Darulaman di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Harian Metro melaporkan semua 30 lelaki dipercayai pondan itu hanya mampu terkedu apabila premis itu diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Kesemua pondan berusia antara 20-an hingga 40-an itu didapati berpakaian wanita seperti gaun dan berbaju kebaya.

Malah, majlis itu turut dihadiri ramai tetamu termasuk wanita dan warga emas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan dilakukan pihaknya pada 10.30 malam selepas menerima maklumat berhubung majlis berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi dengan beberapa anggota polis sebelum mendapati ramai tetamu di ruang hotel berkenaan.

“Bagaimanapun, kami meminta mereka yang tidak berkenaan bersurai dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 30 lelaki yang berpakaian wanita dan disyaki pondan.

“Bagaimanapun mereka tidak ditahan, sebaliknya hanya diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) pada tarikh ditetapkan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi amaran kepada seorang lelaki dipercayai penganjur majlis itu yang berusia 30-an dan dia turut diarah untuk hadir ke pejabat agama bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kesemua pondan berkenaan didapati menetap sekitar daerah ini, selain ada yang berasal dari Selangor dan negeri lain.

Katanya, ketika serbuan, pihaknya mendapati ada acara pakaian beragam dan nyanyian karaoke berlangsung.

“Kita difahamkan, program ini bermula pada 9.30 malam sebelum serbuan dilakukan sejam kemudian.

“Kesemua pondan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, penganjur itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 31 enakmen sama kerana menggalakkan maksiat.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Operasi disertai 30 anggota penguat kuasa JAIK dan PADKP yang berakhir 12.30 tengah malam,” katanya

Comments are closed.