Berita Hari Ini

Melaka Tangguh Perarakan Maulidur Rasul

Melaka: Perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri dan kariah di negeri ini pada Khamis depan ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak awal minggu ini.

BH Online melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah mengeluarkan pekeliling kepada pengerusi masjid supaya mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Melaka (JKNM) bagi membantu mengurangkan kes.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat, berkata ia sejajar keputusan JKNM yang bukan setakat membabitkan sambutan Maulidur Rasul, malah program lain yang berskala besar.

“JAIM terpaksa menangguhkan perarakan itu kerana ia berskala besar dan membabitkan perhimpunan ramai dan kita akan memaklumkan tarikh lain yang akan ditentukan,” katanya di sini hari ini.

Malam tadi program Dakwah Peringkat Parlimen Alor Gajah yang sepatutnya diserikan dengan ceramah oleh penceramah terkenal, Datuk Dr Zahazan Mohamed yang dijadualkan di Masjid As-Syakirin, Gadek dekat Alor Gajah ditangguhkan berikutan arahan berkenaan.

Selain itu, JAIM juga sudah mengeluarkan pekeliling menangguhkan program Jom Derma Darah sempena Lambaian Kasih Rasulullah SAW yang dijadualkan pada Rabu depan.

JKNM sebelum ini mengarahkan semua program berskala besar di negeri ini ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19

Ia adalah sebahagian daripada langkah proaktif bagi membantu mengurangkan kes positif COVID-19, sekali gus usaha ke arah pemulihan sepenuhnya daripada pandemik berkenaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan Isnin lalu yang bukan setakat membincangkan program berskala besar seperti sambutan Maulidur Rasul, malah program lain.

Bagaimanapun, solat Jumaat dan fardu yang sedia ada masih dibenarkan diadakan di masjid dan surau tetapi harus dipastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, kelas takmir selepas solat Maghrib dan Subuh diteruskan seperti biasa.

Setakat semalam, 35 kes masih dirawat di Hospital Melaka, termasuk dari Kluster Umboo yang membabitkan tahanan di Depoh Tahanan Imigresen di Machap Umboo, Alor Gajah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");