Perak Hari Ini

Minat Mendalam Anak Jati Ipoh Restorasi Motosikal Lama

IPOH – Bermula dengan mengubah suai basikal, Mohamad Irwann Mohd Azlan kemudiannya beralih minat kepada mereka cipta motosikal buatan sendiri dan restorasi motosikal lama.

Irwann, 33, yang mudah disapa Cheng dalam kalangan rakan-rakannya, telah memperoleh tujuh anugerah dalam beberapa acara restorasi motosikal dalam negara sejak penglibatannya secara serius bermula pada tahun 2015.

Motosikal Suzuki A100 Cafe Racer dan Harley-Davidson Sportster yang masing-masing diubah suai bukan sahaja meraih beberapa anugerah tempatan malah turut mendapat perhatian menerusi laman sesawang motosikal antarabangsa terkenal iaitu ‘Pipeburn’ dan ‘Bike Exif’.

“Pada tahun 2017 saya memasuki pertandingan Superb Mod Challange yang dianjurkan Motor Nation, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Syarikat Modenas.

“Daripada 10 peserta yang disenarai pendek, tiga individu yang terpilih untuk bertanding iaitu saya, Pengusaha Bengkel Rusty Factory Muhammad Khalid Musa serta pereka motosikal terkenal, Omar Jumiran.

“Dengan peruntukan RM10,000 daripada Teraju, Modenas memberi tugasan dengan mengubah suai motosikal Modenas V15 yang ketika itu baru dilancarkan.

“Selepas sebulan, motosikal rekaan saya yang mempunyai elemen motosikal dari Jepun dan diberi nama ‘Modenas Bosozoku’ akhirnya diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

Bercakap kepada PerakToday, anak jati Ipoh itu berkata hasil daripada wang tunai bernilai RM30,000 yang dimenanginya itu dijadikan modal untuk membuka bengkelnya sendiri, FNG Works dekat Falim, di sini.

Menceritakan detik-detik awal penglibatan dalam industri tersebut, Irwann menambah selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dia kemudian bekerja di bengkel motosikal Beautiful Machines di Selangor.

Katanya pada 2016 dia bersama sekitar 10 yang lain telah menyertai pertandingan mereka cipta motosikal, Yokohama Hotrod Custom Show di Jepun.

Ujarnya walaupun tidak memenangi apa-apa anugerah namun Irwann berbangga apabila berjaya menjadi salah seorang individu yang menjadi peserta sulung negara dalam acara antarabangsa itu.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia kemudiannya pulang ke Ipoh dan menumpang bengkel Rusty Factory demi meneruskan minatnya.

“Pada tahun 2017 dan 2018, saya telah diberi kepercayaan untuk terlibat dengan penganjuran pameran kereta dan motosikal ubah suai terbesar di Malaysia, iaitu Art of Speed (AOS).

“Saya telah terlibat untuk menghasilkan dua buah motosikal untuk dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah iaitu RXZ Twin Boss pada AOS 2017 dan Honda C600 ‘Papa Jahat’ (AOS 2018),” katanya.

Ujarnya lagi, pada AOS tahun lalu, bagi tugasan yang sama dia telah mereka cipta Mini klasik dengan menggunakan sebuah enjin empat silinder dari Suzuki Hayabusa dan diubah suai untuk kegunaan perlumbaan ‘drag’.

“Pada masa hadapan saya mahu kembangkan lagi perniagaan saya dengan membuka sebuah kedai yang menjual pelbagai tayar motosikal. Namun saya masih lagi mahu meneruskan perniagaan ubah suai dan mereka motosikal ini.

“Kerana ia adalah teknik pemasaran terbaik yang mana motosikal yang siap diubah boleh dibawa ke mana-mana acara atau pertandingan bagi menunjukkan kepada orang ramai tentang hasil kerja kita,” kata Irwann.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");