Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Minta Perincian Syarat baharu Umno – Ahmad Maslan

PONTIAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Umno supaya menghantar surat rasmi berhubung perincian syarat baharu kerjasama politik antara parti berkenaan dengan kerajaan PN.

Harian Metro melaporkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permintaan Muhyiddin yang juga Perdana Menteri itu disampaikan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam.

“Permintaan itu susulan sesi sidang video antara Perdana Menteri, saya selaku Setiausaha Agung Umno dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Agung Umno sebagai wakil rasmi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang Rabu lalu.

“Pada sesi sidang video dalam talian berkenaan, saya dan Tengku Adnan memperincikan perjanjian atau syarat baharu kepada Perdana Menteri supaya ada penambahbaikan baharu dalam hubungan persefahaman politik antara Umno dan PN.

“Namun, saya ingin menangguhkan penghantaran surat itu sehingga selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Selasa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mahasiswa/Mahasiswi Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Pusat Khidmat Benut, dekat sini, hari ini.

Selasa lalu, Umno dilaporkan meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai perincian syarat atau tuntutan baharu diminta Umno, Ahmad Maslan berkata, hanya Presiden Umno yang boleh mengumumkan perincian berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa syarat atau tuntutan baharu Umno itu sebagai ugutan politik, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, ia terpulang kepada pandangan dan tafsiran masing-masing.

“Saya hanya menyatakan fakta nombor bahawa Umno memiliki jumlah kerusi paling banyak dan seharusnya diberi ruang sewajarnya dalam kerajaan PN.

“Tuntutan baharu ini dibuat selepas Umno meneliti perkembangan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (Sabah), baru-baru ini, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");